My Add

Sunday 21 October 2012

Ahmad Shabery: KBS belum terima laporan rasuah babitkan PABM

PUTRAJAYA, AHAD, 21 Oktober, 2012: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum menerima laporan rasmi berhubung kes rasuah membabitkan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kementerian itu menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kesahihan dakwaan rasuah membabitkan pegawai PABM.

Kata Ahmad Shabery, walaupun setakat ini beliau belum menerima laporan rasmi mengenai kes berkenaan, namun beliau akan terus memantau kerana beliau hanya mengetahui mengenai kes terbabit menerusi pihak ketiga.

"Jika mereka tidak dipanggil (SPRM), ia tidak bermakna tiada amalan rasuah berlaku. Jika dipanggil ia menunjukkan terdapat kesedaran mengenai aspek integriti di kalangan atlet, jurulatih dan pegawai persatuan sukan di Malaysia," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kejohanan Futsal Anak Perantau di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa jurulatih dan atlet angkat berat bernaung di bawah PABM dipanggil oleh pegawai SPRM berikutan wujud dakwaan rasuah membabitkan pegawai persatuan sukan terbabit.

Ahmad Shabery berkata siasatan itu juga memberi gambaran bahawa peranan SPRM kini semakin meningkat bagi membendung gejala rasuah bukan hanya membabitkan ahli politik dan pegawai kerajaan, malah merangkumi pelbagai pihak termasuk persatuan sukan.

"Justeru, kita tidak boleh memandang negatif terhadap siasatan SPRM kerana matlamat utama kita adalah untuk memastikan tidak berlaku jenayah rasuah dalam sukan angkat berat dan jenis sukan lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment