My Add

Sunday 21 October 2012

Anwar yajib rakyat sedia bangkit memilih PR terajui negara 

 MOHD FIRDAUS YON
JOHOR BAHRU, AHAD, 21 Oktober, 2012:Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin rakyat di negara ini sudah bersedia untuk bangkit melakukan perubahan dengan memilih Pakatan Rakyat (PR) menerajui kepimpinan kerajaan sebaik sahaja berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan suara rakyat yang dilontarkan kepada PR ketika mengadakan program Ceramah Jelajah Rakyat di seluruh negara termasuk negeri ini berserta Sabah dan Sarawak.

“Najib (Perdana Menteri) kini sudah mula goyang. Sebab apa, sebab Sabah yang beliau kata antara kubu kuat Umno-Barisan Nasional (BN) akan kalah.

“Rakyat sudah bangkit dan mahukan perubahan. Ini semua soal suara keramat dan hasrat rakyat sendiri. Kini, ‘enough is enough’ dan sudah tiba masanya ‘time for change’,” katanya kepada lebih 3,000 hadirin yang hadir ke program Ceramah Jelajah Rakyat di Sutera Mall, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng; Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau; Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Kehadiran Anwar menggunakan bas untuk program Jelajah Merdeka Rakyat yang tiba di lokasi ceramah sekitar jam 10 malam itu dikerumuni penyokong setia PR negeri ini dan ketibaan Ketua Umum PKR itu disambut meriah.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, Umno-BN kini ketandusan isu untuk melakukan fitnah bagi menghalang gerak kerja PR ke Putrajaya yang kini kian mendapat tempat dalam kalangan rakyat.

“Mereka sibuk mencanang isu saya menaiki jet yang ditaja oleh seorang ahli korporat. Anda tahu mengapa ahli korporat ini sudi meminjamkan jet ini untuk kami (gerak kerja), sebab dia tahu kita akan menang.

“Kalau kami naik bas, mereka baling batu dan simbah cat. Sekarang kami naik jet, balinglah batu dan simbah cat kalau boleh,” katanya.

Anwar berkata, rakyat Johor juga perlu sedar kejayaan PR mentadbir Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Beliau turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak supaya berundur secara bermaruah kerana rakyat kini sudah sedar Umno-BN tidak mampu menerajui negara.

“Kami tidak mengambil tanah milik rakyat mahupun tanah perkuburan milik nenek moyang rakyat seperti Umno-BN, malah tidak sesekali memiliki pemimpin yang mengamalkan rasuah seperti mereka.

“Kini selepas setengah abad, bagilah ruang dan terima kenyataan. Saya percaya PRU13 bakal diadakan dalam masa terdekat dan semua rakyat termasuklah di Johor harus sedar PRU ini merupakan perubahan terpenting demi kesejahteraan negara,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut melaungkan janji mahu menurunkan harga minyak dan memberikan pendidikan percuma dengan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sekiranya PR menang PRU13 serta berjaya menawan Putrajaya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment