My Add

Saturday 6 October 2012

Airbus A380 MAS terbang 2 kali sehari ke London

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Oktober, 2012: Malaysia Airlines (MAS) akan memperkenalkan penerbangan dua kali setiap hari Airbus A380 dari Kuala Lumpur ke London, mulai 24 November.

Kapasiti tempat duduk mingguan penerbangan A380 itu akan bertambah sebanyak 16 peratus daripada 5,971 kepada 6,916 untuk setiap laluan.

Perkhidmatan dua kali setiap hari itu akan dimulakan selepas syarikat penerbangan itu menerima dua daripada enam A380 menjelang akhir Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya berkata operasi A380 untuk laluan Kuala Lumpur ke London, bermula dari 1 Julai tahun ini dan sambutannya amat menggalakkan.

"Berikutan kejayaan operasi harian A380 kami pada masa ini untuk laluan ini, kami telah memutuskan untuk menggantikan penerbangan harian B747 sedia ada, dengan A380 untuk menjadikannya dua kali sehari dengan superjumbo," kata beliau dalam stu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu juga akan memulakan operasi setiap hari A380 untuk laluan Kuala Lumpur-Paris-Kuala Lumpur, berkuat kuasa 1 Mac tahun depan, bagi menggantikan perkhidmatan setiap hari B777 di laluan ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment