My Add

Sunday 7 October 2012

Bawa peguam asing tidak munasabah

BAGAN DATOH, SABTU,  06 Oktober, 2012: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli Parlimen pembangkang menjemput peguam asing bagi memberikan taklimat mengenai isu rasuah dalam pembelian kapal selam, Scorpene, menunjukkan mereka seolah-olah mahu pihak luar campur tangan dalam hal ehwal politik dan undang-undang negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah tidak munasabah untuk memanggil peguam asing membuat penjelasan berhubung isu tersebut kerana ia lebih kepada masalah politik dan bukannya perundangan.

"Kita dapat lihat campur tangan peguam asing dalam politik negara walaupun dalam bentuk memberikan penjelasan.

"Saya sudah jelaskan, dari segi perundangan dan pembelian, memang ia mengikut garis panduan yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas menutup temasya sukan Sekolah Rendah Agama Rakyat al-Ulum Tarbiah di Kampung Tanah Lalang di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Anwar dan tiga ahli Parlimen pembangkang yang mahu dua peguam Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan peguam mewakili DCNS, syarikat milik kerajaan Perancis untuk memberikan taklimat berhubung isu pembelian Scorpene di Parlimen.

Tiga ahli Parlimen pembangkang itu ialah R. Sivarasa, Tian Chua dan Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, tujuan pihak pembangkang memanggil peguam asing adalah bermotif politik yang bertujuan memburuk-burukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Menteri Pertahanan ketika pembelian kapal selam itu.

Katanya, perkara tersebut adalah isu lama yang sengaja dibangkitkan semula untuk menimbulkan kemarahan dan mengelirukan rakyat.

"Saya harap mereka yang menjadi dalang membawa peguam-peguam dari Perancis itu supaya menghentikan tindakan mereka. Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan penjelasan secara rasmi dan jangan cuba untuk mengelirukan fakta-fakta tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan bekas tentera yang tidak berpencen untuk diberikan elaun tetap sebanyak RM500 sebulan agak sukar untuk ditunaikan kerana ia melibatkan peruntukan yang besar.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu bersyukur dengan pemberian sagu hati RM1,000 yang diumumkan dalam Bajet 2013 baru-baru ini.

"Kita amat menghargai jasa veteran yang bertugas semasa darurat. Jika kita memberikan elaun tetap kepada mereka, perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkhidmat semasa darurat juga akan meminta imbuhan yang sama dan ia memerlukan peruntukan yang besar," katanya.

"Perkara ini kita serahkan kepada Perdana Menteri untuk menggunakan budi bicara beliau jika ada kemampuan daripada pihak kerajaan untuk membuat bayaran itu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment