My Add

Sunday 7 October 2012

AiU mahu perkenal ilmu pengetahuan pribumi

ALOR SETAR, AHAD, 07 Oktober, 2012: Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) berharap dapat memperkenalkan ilmu pengetahuan pribumi arus perdana dalam kurikulum bagi menawarkan pelajar antarabangsa pelbagai pilihan ketika mengikuti pengajian mereka.

Naib Canselor AiU, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terbaru di Malaysia, universiti itu telah mengambil dasar falsafah berbeza untuk menyahjajah sistem pendidikan.

"Kita sering bercakap tentang globalisasi atau pengantarabangsaan tetapi anda mempunyai sistem pengetahuan yang tidak global.

"Oleh itu kami berhasrat untuk mengarusperdanakan pengetahuan baru ini seiring dengan ilmu pengetahuan konvensional supaya pelajar kami mempunyai pilihan yang lebih baik,” katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita di luar persidangan antarabangsa Kepimpinan Universiti bagi Penyatuan Kepelbagaian Pengetahuan Lestari selama tiga hari di sini semalam

Walau bagaimanapun, beliau menggesa universiti di Malaysia supaya memasukkan ilmu pengetahuan pribumi dalam kurikulum masing-masing bagi mencerminkan entiti Malaysia.

Dzulkifli berkata, AiU bercadang memindahkan idea yang berkaitan tentang ilmu pengetahuan pribumi daripada peserta antarabangsa ke dalam kurikulum universiti.

Beliau berkata, antara perkara yang dibincang semasa persidangan itu termasuklah sistem pemuliharaan air dan saliran, logik sistem perubatan pribumi, senibina ekologi, pertanian organik, kalendar tradisional, keusahawanan tempatan dan amalan lestari tradisi menangkap ikan.

Katanya, cendekiawan masyarakat pribumi Alaska dan New Zealand turut membentangkan kertas kerja mengenai usaha mereka untuk beransur-ansur mengubah sistem ilmu pengetahuan Barat supaya disesuaikan dengan kemajuan komponen yang terdapat dalam komuniti mereka sendiri. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment