My Add

Wednesday 17 October 2012

AKEPT perluas peranan membangun institusi pengajian tinggi negara

KOTA BHARU, RABU, 17 Oktober, 2012: Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dalam usahanya meningkatkan tahap kecemerlangan kepimpinan mengurus tadbir universiti dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mengadakan program turun padang.

Pengarahnya, Datuk Prof Dr Rodziah Omar berkata, melalui pendekatan ini, AKEPT diharap dapat memainkan peranan memacu pembangunan institusi pengajian tinggi awam di negara ini ke arah melahirkan modal insan bertaraf dunia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena Program Tahunan Pertama Perbincangan Meja Bulat Pemimpin Pentadbir Universiti, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kira-kira 100 pakar akademik daripada IPTA dan swasta menyertai perbincangan meja bulat pertama anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kementerian Pengajian Tinggi itu.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Penasihat AKEPT, Tan Sri Dr Wan Mohd Noordin Wan Zahid, anggota Penasihatnya, Tan Sri Prof Arshad Ayub dan Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose.

Dr Rodziah berkata, penganjuran program itu juga diharap dapat membentuk keupayaan serta kecemerlangan peserta sebagai pentadbir institusi pengajian bertaraf dunia.

Malaysia amat memberi fokus yang begitu tinggi terhadap usaha ini dalam melahirkan tenaga mahir yang menjadi modal insan yang berkualiti dalam pembangunan negara, katanya. 

"Kita berharap UMK sebagai sebuah universiti berteraskan keusahawanan pertama di negara ini akan menjadi model kepada pelaksanaan program ini untuk jangka masa panjang," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, perbincangan meja bulat pentadbir profesional kesan cetusan idea ke arah melahirkan institusi pengajian bertaraf global sesuai dengan temanya 'Hala Tuju Masa Depan Menjadikan Institusi Pendidikan Bertaraf Dunia'. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment