My Add

Friday 12 October 2012

AKPK bantu 77,994 peminjam

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Sebanyak 68 peratus daripada 196,014 pelanggan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terdiri daripada golongan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, maklumat daripada agensi yang berperanan memberi kaunseling kredit serta pengurusan hutang itu turut mendapati 57 peratus pelanggan terbabit berumur di bawah 40 tahun dan 67 peratus daripadanya lelaki.

"Maklumat sehingga 31 Ogos 2012 itu turut menunjukkan sebanyak 32 peratus pelanggan AKPK adalah daripada sektor swasta, 48 peratus bekerja sendiri dan lapan peratus adalah penjawat awam," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Md. Sirat Abu (BN-Bukit Katil) yang bertanyakan berapa ramai individu yang berjaya diselamatkan daripada status muflis hasil bimbingan AKPK.

Menurut Awang Adek, kebanyakan pelanggan AKPK terdiri daripada individu mempunyai masalah pembayaran jumlah hutang yang tinggi berbanding pendapatan bulanan dan ada di antara mereka telah mendapat surat tindakan undang-undang.

Jelasnya, AKPK membantu pelanggannya dengan mencadangkan kepada pihak institusi kewangan untuk menerima bayaran balik pinjaman yang telah distruktur semula mengikut kemampuan pelanggan dan hasilnya, pihak institusi kewangan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap pelanggan terbabit - UTUSAN

"Daripada jumlah keseluruhan pelanggan, seramai 77,994 orang telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit AKPK yang mana pinjaman mereka berjaya dijadual atau distruktur semula bagi mengelakkan perintah muflis oleh mahkamah,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment