My Add

Thursday 4 October 2012

Belanjawan 2013 bantu ringankan beban kos hidup belia

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Mengambil kira cabaran yang dihadapi golongan muda kini, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat, Belanjawan 2013 membuka ruang untuk mereka menikmati hidup yang lebih selesa.

Belanjawan yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 September lalu itu menggariskan beberapa peruntukan atau manfaat dalam usaha menyaingi peningkatan kos sara hidup pada semua aspek.

Antaranya, peruntukan RM1.9 bilion untuk membina 12,000 rumah mampu milik di seluruh negara, pemansuhan syarat keperluan simpanan tiga bulan serta tempoh minimum bekerja enam bulan dan melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan kepada RM400,000.

Sebagai tambahan, di bawah Skim Rumah Pertamaku, had pendapatan untuk pinjaman individu dinaikkan dari RM3,000 ke RM5,000, manakala RM10,000 ditetapkan untuk pasangan berkahwin yang mengambil pinjaman bersama.

Bagi penulis muda Lau Phui Leng, 27, kerajaan membuat perubahan yang adil untuk orang muda memiliki rumah di bawah skim itu memandangkan harga hartanah yang melonjak sekarang.

Kata wanita itu, kos sara hidup sekarang meningkat dengan ketara berbanding beberapa tahun lepas yang menyaksikan sebuah keluarga masih mampu hidup selesa dengan hanya pendapatan ketua keluarga.

"Saya harap pengumuman itu dapat memuaskan hati masyarakat kerana pendapatan kita kurang berbanding perbelanjaan dan ini mungkin ada kena-mengena dengan kehidupan yang semakin sofistikated...orang muda sekarang memilih hidup mewah baik dari segi makanan, telefon mahupun tempat tinggal.
"Justeru bukan mudah untuk kerajaan menggembirakan rakyat terutama golongan muda dan saya berharap faedah yang diberi akan mengurangkan beban mereka dalam merancang masa depan," katanya.

Tertarik dengan skim itu, Lau berkata beliau mungkin akan membeli sebuah rumah sebagai pelaburan, dengan syarat skim tersebut memenuhi kriteria 'pelaburan menguntungkan'.

Eksekutif pemasaran S Lalitha, 26 pula berkata, pengumuman mengenai rumah mampu milik itu tiba tepat pada masanya kerana beliau merancang untuk berkahwin tahun depan.

"Saya dan pasangan risau dengan harga rumah di atas tanah di sekitar bandar raya ini...tetapi pengumuman minggu lalu itu memberi harapan kepada kami untuk membeli rumah sebelum berkahwin," katanya.

Mengimbas kembali kisah yang diceritakan ayahnya mengenai harga hartanah pada satu ketika dahulu, Lalitha berkata harga rumah dua tingkat di pekan Kajang antara RM80,000 dan RM150,000 berbanding sekarang yang menyaksikan harga sebuah apartmen pun dua kali ganda jumlah itu.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan pinjaman hingga RM100,000 dengan kadar faedah dua peratus kepada mereka yang berusia 30 tahun ke bawah menerusi Dana Usahawan Muda dan geran RM1,000 seorang melalui Program "Get Malaysian Business Online" bagi membantu 50,000 usahawan kecil yang berminat.

Pereka laman sesawang G Vishnudharan, 24, berkata memberi tawaran pinjaman kepada golongan muda adalah lebih baik berbanding membiarkan mereka menganggur.

"Sebagai penulis blog, pinjaman atau geran yang disediakan akan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berdikari dan memperluaskan perniagaan mereka ke seluruh dunia menerusi talian," katanya.

Beliau berharap pihak yang berkenaan akan menjalankan program kesedaran mengenai peluang terbabit agar belia berbakat tidak terpinggir.

S Janu, 25, pula teruja dengan rebat 'one-off' bagi pembelian telefon pintar 3G dan berpandangan kerajaan memahami keperluan golongan muda yang dambakan kecanggihan teknologi maklumat di tangan mereka.

"Setakat ini saya tak tahu bagaimana untuk memohon rebat itu dan saya berhajat untuk mendapatkan telefon pintar. Saya harap mereka akan beritahu kami cara-caranya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment