My Add

Tuesday 16 October 2012

Bicara Bahasa bantu masyarakat guna bahasa kebangsaan dengan betul 

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Oktober, 2012: Program Bicara Bahasa anjuran Arkib Negara perlu diadakan lebih kerap kerana program itu dapat membantu golongan muda menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, kebelakangan ini kebanyakan golongan muda seolah-olah sudah lupa untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul.

"Ada golongan muda yang mencampur-aduk bahasa Inggeris dengan bahasa kebangsaan selain menggunakan bahasa yang pendek dan ringkas ketika menulis emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Oleh itu program seperti Majlis Bicara Bahasa perlu diadakan setiap tahun supaya masyarakat sentiasa diingatkan mengenai penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul," katanya kepada pemberita hari ini.

D'Cruz sebelum itu merasmikan majlis Bicara Bahasa bertajuk 'Bahasa Surat-Surat Sultan Abdul Hamid Halim Shah 1882-1905 Masihi' yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, di sini.

Menyentuh mengenai koleksi 'Surat Menyurat Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah' yang disimpan Arkib Negara dan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2001 sebagai Koleksi Warisan Dunia, beliau berkata pakar bahasa Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar sudah membuat kajian ke atas keunikan bahasa yang terkandung dalam koleksi itu.

"Hasil kajian berkenaan akan diterbitkan sebagai sebuah buku selepas ini," katanya dan berharap buku berkenaan dapat menjadi rujukan penting bukan saja dalam bidang bahasa,tetapi juga bidang-bidang lain seperti sejarah, pentadbiran, ekonomi dan sebagainya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment