My Add

Tuesday 16 October 2012

Guna saluran dalaman desak SUK Kedah letak jawatan

ALOR SETAR, SELASA, 16 Oktober, 2012: Anggota majlis kerajaan tempatan di Kedah yang mendesak Setiausaha Kerajaan (SUK) Kedah, Datuk Rasli Basir meletak jawatan seharusnya menggunakan saluran dalaman yang bersesuaian, bukannya melalui demonstrasi.

Pengerusi Gerakan Kedah, Dr Cheah Soon Hai berkata, tindakan berdemonstrasi di depan bangunan Wisma Darul Aman baru-baru ini adalah sangat tidak sesuai dan memalukan.

"Saya berasa aneh kenapa ahli majlis perlu bertindak demikian sedangkan mereka dilantik oleh kerajaan negeri sendiri, mereka sepatutnya menyuarakan ketidakpuasan mereka melalui saluran dalaman dan bukannya secara demonstrasi.

"Tindakan ini dilihat seperti sandiwara politik yang biasa digunakan pakatan pembangkang untuk mengalih tumpuan daripada isu-isu lain," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pakatan pembangkang sering mengatakan bahawa parti politik tidak sepatutnya campur tangan atau menganggu pentadbiran kerajaan negeri.

"Tapi sekarang mereka campur tangan secara terbuka dalam kes ini dan ini menunjukkan mereka tidak jujur dan 'cakap tak serupa bikin'," kata Cheah.

Cheah berkata, pihaknya juga mendesak supaya anggota majlis yang terbabit memohon maaf secara terbuka kepada Rasli serta rakyat negeri ini di atas kelakuan tidak sopan selain dilihat seolah-olah tidak menghormati kuasa dan keputusan Sultan Kedah yang berkuasa melantik SUK. 

Isu itu timbul berikutan tindakan Rasli yang didakwa menukar beberapa Yang Dipertua Majlis Kerajaan Tempatan, termasuk Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Ahmad Fisol Md Nor.

Ahmad Fisol, yang dilantik sebagai Pegawai Daerah Kubang Pasu pada November tahun lalu, dipindahkan ke Kuala Muda sebagai Pegawai Daerah bulan lalu. Beliau digantikan Datuk Abdul Aziz Abdul Ghani. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment