My Add

Wednesday 3 October 2012

BN Pulau Pinang terima tawaran beli tanah RM22 juta

GEORGETOWN, RABU, 03 Oktober, 2012: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menerima tawaran daripada kerajaan negeri untuk membeli tapak tanah kosong seluas 0.445 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini untuk dibangunkan dengan perumahan kos rendah.

Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata kerajaan negeri telah menghantar surat tawaran kepada BN Pulau Pinang pada 4 Sept lepas dengan sebut harga bagi satu kaki persegi tapak tanah itu pada kadar RM450.

"Hari ini kita bawa wang tunai sebanyak RM224,073 iaitu satu peratus daripada harga keseluruhan tanah itu sebanyak RM22 juta sebagai tanda setuju di atas tawaran yang diberikan.

"Selepas ini segala urusan perjanjian dan terma dan syarat akan diuruskan oleh peguam," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan wang tunai itu kepada wakil kerajaan negeri di Komtar hari ini.

Isu tanah di Taman Manggis itu timbul selepas tanah itu yang dicadangkan untuk fasa kedua Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dijual oleh kerajaan negeri pimpinan DAP kepada pemaju untuk membina 19 tingkat hotel, enam tingkat hospital dan lima tingkat tempat letak kereta.

Oh berkata pelaksanaan pembangunan rumah kos rendah di atas tanah itu akan diuruskan oleh sebuah syarikat yang telah diperbadankan iaitu Taman Manggis Fasa Dua Development Sdn Bhd.

Terdahulu ketika ditanya mengenai bayaran secara tunai pada hari ini, Oh menjelaskan mereka berbuat demikian kerana di dalam surat tawaran daripada kerajaan negeri tidak menyatakan kaedah pembayaran dan kepada siapa ia harus dibuat.

"Dalam surat itu hanya dinyatakan harga sekaki tanah sahaja, banyak maklumat lain tidak dinyatakan di dalam surat tawaran itu, tetapi kita (BN) mahu bantu rakyat jadi kita sediakan wang tunai supaya tidak tersilap tulis nama penerima," katanya.

Bagaimanapun setelah berjumpa dengan wakil daripada kerajaan negeri, pembayaran wang pendahuluan satu peratus itu dibuat kepada Bendahari Negeri Pulau Pinang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment