My Add

Friday 5 October 2012

Bukti amalan kronisme kronik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Senarai Kabinet bayangan pembangkang bukan sahaja bukti amalan kronisme dan nepotisme kronik khususnya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi juga amaran serta iktibar kepada rakyat negeri Sabah.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pembangkang sebelum ini bercakap soal menentang kronisme dan nepotisme tetapi sebenarnya pakatan itulah pengamal tegar amalan politik tidak sihat tersebut.

Katanya, ia terbukti apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (selaku Perdana Menteri bayangan) bukan sahaja menyenaraikan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tetapi turut meletakkan anaknya, Nurul Izzah sebagai anggota Kabinet bayangan.

Lebih teruk, menurut beliau, pembangkang langsung tidak menyenaraikan pemimpin Sabah dalam Kabinet bayangan, berbanding empat wakil negeri itu diiktiraf oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang saya lihat ini adalah Kabinet kroni. Bapa, emak dan anak semua diangkat dalam Kabinet bayangan tetapi malangnya wakil Sabah seorang pun tidak diiktiraf.

“Sebab itu orang Sabah jangan tertipu, mereka ini boleh menjanjikan impian tinggi melangit tetapi akhirnya ia hanya tinggal janji. Tapi BN hari ini memberi kepada empat wakil Sabah sebagai menteri," katanya semasa membahaskan Bajet 2013, di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, pemimpin pembangkang yang selama ini terkenal dengan sikap gemar menimbulkan kekecohan pada setiap sesi Parlimen, hilang modal untuk berhujah apabila isu Kabinet bayangan yang disiarkan akhbar dibangkit Bung Moktar.

Malah, beberapa pemimpin pembangkang seperti Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dan Yusmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau) hanya mampu memberitahu senarai Kabinet bayangan tersebut tidak benar.

Manakala Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) yang masing-masing dikaitkan sebagai Menteri Kewangan I dan Menteri Sumber Manusia berdiam diri walaupun nama mereka dibangkitkan.

Begitu juga dengan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) yang hanya membisu apabila beliau diusik Bung Moktar memandangkan namanya tidak tersenarai.

“Paling kasihan rakan saya Indera Mahkota, beliau hebat di dalam Dewan tetapi tiada dalam senarai. Saya fikir sekurang-kurangnya beliau akan diangkat sebagai Menteri Kewangan tetapi rupa-rupa Petaling Jaya Utara lebih hebat. Saya rasa elok Indera Mahkota fikir-fikirkan masa depan beliau," katanya.

Sementara itu di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi berkata, ketiadaan pemimpin pembangkang dari Sabah dan Sarawak dalam Kabinet bayangan membuktikan janji ditabur oleh pakatan tersebut terhadap rakyat di kedua-dua negeri itu hanyalah retorik.

Katanya, walaupun jawatan Timbalan Perdana Menteri ketiga dikosongkan untuk memberi ruang kepada wakil dari kedua-dua negeri tersebut tetapi tidak dapat dipastikan sama ada pemimpin dari Sabah atau Sarawak akan menjawatnya.

“Tidak seperti Kabinet sedia ada, ada lebih 10 pemimpin dari kedua-dua negeri memegang jawatan menteri serta timbalan menteri. Jadi, saya meminta rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak menilai janji-janji pembangkang, " katanya.

Menurut Salleh, beliau pasti pemimpin yang melompat ke pihak pembangkang juga kecewa melihat senarai Kabinet bayangan itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment