My Add

Friday 5 October 2012

Kerajaan komited bendung gejala sosial remaja

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Kerajaan komited membendung masalah sosial terutama melibatkan remaja seperti ketagihan dadah, alkohol, perjudian haram dan jenayah siber melalui pelbagai program antaranya yang berbentuk kaunseling, perlindungan serta pemulihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, gejala- gejala itu perlu dibendung demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, antara langkah-langkah telah diambil adalah menubuhkan Kuala Lumpur Krash Pad (KLKP) di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur yang berfungsi sebagai tempat selamat kepada remaja di kawasan berkenaan.

“KLKP ditubuhkan bagi remaja berumur antara 13 dan 21 tahun selain sebagai tempat selamat, KLKP turut berfungsi sebagai tempat remaja terbabit mendapatkan bimbingan dan didikan melalui tuisyen, kelas komputer, sesi kaunseling, kelas kebudayaan serta kelas muzik.

“Buat masa ini terdapat 373 orang remaja telah berdaftar dengan KLKP," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Billy Abbit Joo (BN-Hulu Rajang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, antara langkah lain, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan perkhidmatan dalam bentuk institusi perlindungan dan pemulihan khusus bagi remaja yang terlibat dengan masalah sosial.

Beliau berkata, JKM kini mempunyai sembilan buah Sekolah Tunas Bakti, 11 buah asrama akhlak dan empat buah Taman Seri Puteri bagi remaja atau kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang terbabit dengan jenayah.

“JKM juga telah menubuhkan 142 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di kawasan berisiko seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dengan masalah sosial.

“PAKK ini dipantau oleh 131 Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak yang mana keanggotaannya terdiri daripada kakitangan agensi-agensi kerajaan seperti JKM, polis, Jabatan Kesihatan serta pemimpin masyarakat setempat," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, sebuah lagi agensi di bawah kementerian iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut melaksanakan pelbagai program dan kursus untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja.

Beliau berkata, antara program tersebut adalah program Kaunseling Keluarga, Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) serta Kafe@TEEN dan Ilmu Keluarga@LPPKN. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment