My Add

Thursday 4 October 2012

Dana RM1 juta rancakkan aktiviti terjemahan - Muhyiddin
*MUHYIDDIN Yassin (empat kiri) mendengar sesuatu diperkatakan Khalidah Adibah Amin (berkerusi roda) sambil diperhatikan oleh Abdullah Hassan (lima kiri) pada majlis Penyampaian Anugerah Terjemahan Negara 2012 di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA, RABU, 03 Oktober, 2012: Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta sebagai usaha merancakkan lagi aktiviti penterjemahan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu diharap menjadi dorongan supaya lebih ramai penterjemah tempatan sedia ada melakukan kerja-kerja terjemahan secara sepenuh masa.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan memantap dan memperkasakan industri terjemahan negara pada masa akan datang.

''Melihat pada bidang-bidang yang diperlukan untuk meningkatkan pengusahaan ilmu dalam bahasa kita seperti bidang sains, teknologi, pengurusan dan agama, maka bidang-bidang ilmu itu kalau tidak ada penterjemah sepenuh masa, mungkin tidak dapat dipelajari dan dikuasai anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Anugerah Terjemahan Negara 2012 anjuran Institut Terjemahan Negara dan Buku Malaysia (ITBM) bersama Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) di sini.

Turut hadir Pengerusi ITBM, Datuk Dr. Shaharuddin Md. Salleh dan Presiden PPM, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Sempena majlis tersebut, Khalidah Adibah Amin dipilih sebagai Tokoh Terjemahan Negara 2012 dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 bersama sijil penghargaan.

Seramai 13 penterjemah lain turut menerima anugerah terjemahan berdasarkan lima kategori utama iaitu kreatif, umum, sains sosial, sains dan teknikal serta bacaan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju agar ITBM dan PPM menguruskan peruntukan tersebut secara bersama.

''Saya percaya kedua-dua organisasi ini berupaya melakukannya berdasarkan pengalaman dan komitmen mereka dalam memperjuangkan isu-isu terjemahan selama ini," katanya.

Beliau berkata, selain menggalakkan rakyat menguasai pelbagai bahasa bagi memperoleh ilmu, usaha menterjemah karya-karya penting ke dalam bahasa kebangsaan perlu diperkukuhkan.

''Ini penting kerana usaha seperti itu bukan sahaja akan memperluaskan penyebaran ilmu kepada setiap lapisan masyarakat di negara kita, malah akan meningkatkan lagi kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment