My Add

Thursday 11 October 2012

Datuk rugi hampir RM2 juta ditipu untuk lesen nombor ekor

SHAH ALAM, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Seorang lelaki bergelar Datuk menanggung kerugian hampir RM2 juta apabila ditipu tiga lelaki termasuk seorang yang kononnya bergelar 'Datuk' berhubung lesen dan permit peniagaan kedai nombor ekor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Chong Mun Phing berkata kesemua suspek ditahan secara berasingan pada 2 dan 5 Oktober lepas, masing-masing di Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan di sebuah rumah di Shah Alam.

"Kesemua suspek itu ditahan selepas mangsa seorang pemaju perumahan berumur 35 tahun membuat laporan pada Jun lepas sebaik sedar dirinya diperdaya," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Chong berkata mangsa diperkenalkan kepada 'Datuk' palsu itu yang menunjukkan kad kuasa kononnya dari Unit Tindakan Khas Kementerian Dalam Negeri dan mendakwa boleh mengeluarkan lesen dan permit untuk membuka kedai nombor ekor pada 2010 oleh seorang rakannya.

Beliau berkata mangsa diminta membayar RM1.6 juta untuk tujuan itu serta dibawa berjumpa dengan lelaki berusia 45 tahun tersebut dan pembantu peribadinya, berusia 29 tahun di ruang legar sebuah kementerian untuk meyakinkan mangsa.

"Ketika dibawa berjumpa dengan suspek bergelar 'Datuk' itu, mangsa menerima satu permit untuk perniagaan nombor ekor itu dan diminta menunggu untuk tempoh setahun bagi mendapatkan lesen serta surat pengesahan bagi memulakan perniagaan," katanya.

Chong berkata selepas menunggu lebih setahun, mangsa bertindak pergi ke sebuah kementerian dengan membawa permit yang diterimanya namun dimaklumkan permit itu adalah palsu serta individu terbabit tidak mempunyai kaitan untuk meluluskan lesen perniagaan serta mengeluarkan permit.

Beliau berkata penahanan suspek terbabit turut membawa kepada penemuan beberapa dokumen, surat dan cop untuk tujuan penipuan yang disimpan di dalam sebuah peti keselamatan di kawasan Masjid Jamek Kuala Lumpur dan KL Sentral.

"Berdasarkan surat dan dokumen yang ditemui, kita percaya kesemua suspek terbabit telah menipu lebih dari empat mangsa berkaitan lesen perniagaan, permit dan AP," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment