My Add

Monday 15 October 2012

Dialog kerjasama Asia bincang krisis kewangan global

BANDARAYA KUWAIT, ISNIN, 15 Oktober, 2012:: Krisis kewangan global adalah antara bidang utama yang akan dibincangkan di Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) pertama tahun ini.

Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah, berkata sekarang adalah masa dan tempat yang sesuai untuk membincangkan krisis itu kerana krisis kewangan global semasa semakin menjadi buruk dan memberi kesan kepada negara-negara Asia. 

Selain krisis kewangan itu, sidang kemuncak tiga hari itu akan turut membincangkan isu keselamatan makanan, teknikal, saintifik dan ekonomi di kalangan negara anggota ACD, katanya pada taklimat media hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Luar Thailand Surapong Towijakchaikul.

Surapong berkata ACD itu akan memfokuskan pada perkongsian di kalangan negara anggota, khususnya di dalam bidang kewangan, di dalam usaha memajukan lagi negara-negara Asia.

"Sidang kemuncak itu akan mengenal pasti sektor khusus di kalangan negara Asia yang akan dimajukan. Kami akan membantu mereka membangunkan sektor-sektor berkenaan di segi pembiayaan, jika diperlukan," katanya.

ACD adalah inisiatif Thailand yang akan menjadi satu kerangka kerjasama meliputi seluruh benua itu yang dipandu oleh pemikiran yang positif.
Ia menyasarkan untuk menyatukan kekuatan Asia dan mengukuhkan daya saing rantau itu dengan memaksimumkan kepelbagaian dan kekayaan sumber di Asia.

ACD 2012 selama tiga hari yang bertajuk "Wawasan Masa Depan Asia", yang bermula hari ini, akan dirasmikan esok oleh Sheikh Sabah, yang juga Menteri Luar Kuwait. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment