My Add

Monday 15 October 2012

Syarikat penerbangan baru Sarawak, Sabah dalam rundingan 

KUCHING, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Sarawak dan Sabah masih lagi dalam perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung penubuhan sebuah syarikat penerbangan baru, sebagai anak syarikat Malaysia Airlines (MAS), bagi memperbaiki laluan masuk ke kedua-dua buah negeri itu melalui udara.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata demikian semasa ditemu bual oleh wartawan asing yang berpangkalan di Doha di luar forum selama dua hari mengenai pelaburan, di ibu negeri Qatar itu minggu lalu. 

Beliau berkata kedua-dua negeri berminat membeli saham majoriti dalam syarikat penerbangan baru itu supaya dapat membuat perancangan lebih awal terhadap laluan masuk udara di samping mahukan lebih kelonggaran dalam kesalinghubungan dengan syarikat penerbangan lain yang memberi perkhidmatan ke rantau berkenaan.

"Kedua-dua negeri mahukan laluan yang membolehkan persinggahan di Hongkong, Singapura, Kuala Lumpur dan bandar raya lain untuk mengambil penumpang dari Kuching, Kota Kinabalu dan Brunei Darussalam," katanya.

Taib gembira kerana Sarawak dan Sabah semakin banyak menerima persinggahan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah yang menolong mendekatkan lagi hubungan antara Semenanjung Malaysia dengan Sibu, Bintulu, Miri dan Kota Kinabalu.

Beliau mengetuai misi ke Doha untuk menarik pelaburan yang lebih tertumpu kepada pihak berminat di Timur Tengah bagi industri pengeluaran makanan di hab halal seluas 77,000 hektar di Tanjung Manis.

Taib memberi jaminan bahawa kerajaan Sarawak boleh mengatur mendapatkan rakan kongsi teknologi menyertai usaha pembangunan di negeri itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment