My Add

Friday 5 October 2012

Dua remaja maut dalam nahas babit tiga kenderaan

PEKAN, JUMAAT, 05 Oktober, 2012: Dua remaja maut dalam nahas yang membabitkan tiga kenderaan di KM29 Jalan Pekan-Nenasi dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Proton Persona, Low Chee Wah, 19, dan teman wanitanya, Vilian Ng Carol, 18.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Nenasi menuju Pekan.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah Perodua MyVi di hadapannya namun gagal lalu bertembung dengan sebuah lori," katanya di sini, hari ini.

Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa terbabas dan melanggar Perodua MyVi terbabit.

"Mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala manakala rakan wanitanya itu disahkan meninggal dunia pada 12.30 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan," katanya.

Yahaya berkata, pemandu Perodua MyVi tersebut, Ediana Saharuddin, 26, dari Peramu Jaya 3, Pekan dan pemandu lori berkenaan Abu Seman Abdul Ghani, 37, dari Kampung Hubung Endau, Johor Baharu tidak mengalami kecederaan.
Katanya, ketika kejadian, berlaku hujan lebat dan permukaan jalan menjadi basah serta licin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment