My Add

Friday 5 October 2012

Jumlah perdagangan Malaysia pada Ogos RM104.84 bilion

 KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Oktober, 2012: Jumlah perdagangan Malaysia pada Ogos susut kepada RM104.84 bilion berbanding RM106.17 bilion pada Ogos 2011 terutamanya berikutan perdagangan yang rendah dengan Thailand, Qatar dan Perancis.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata eksport berkurangan 4.5 peratus pada Ogos kepada RM55.97 bilion berbanding Ogos 2011 susulan permintaan yang lemah dari zon Euro, China dan India. 

Bagaimanapun, import naik 2.8 peratus kepada RM48.88 bilion berikutan peningkatan dalam import barang modal sebanyak RM856.9 juta, katanya.

"Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir adalah barang pengantara bernilai RM30.35 bilion, barang modal (RM7.71 bilion) dan kimia dan bahan kimia (RM4.29 bilion)," katanya.

Barangan import utama adalah barangan elektrik dan elektronik (E&E) pada RM15.03 bilion dan jentera, perkakasan dan peralatan pada RM4.51 bilion.

Eksport ke Asean mengurang 2.9 peratus daripada Ogos 2011 kepada RM13.96 bilion, merangkumi 24.9 peratus jumlah eksport Malaysia berikutan eksport yang rendah bagi petroleum mentah, kimia dan bahan kimia serta barangan besi dan keluli.

Bagaimanapun, eksport keluaran petroleum ditapis meningkat 32.9 peratus, barangan E&E terutamanya litar bersepadu elektronik, menambah 3.6 peratus serta peralatan optik dan saintifik, khasnya peralatan dan aksesori bagi barangan optik untuk tujuan memeriksa barangan semikonduktor melonjak 33.4 peratus.
Singapura adalah negara eksport terbesar pada RM7.61 bilion, diikuti dengan Thailand pada RM2.66 bilion dan Indonesia pada RM1.49 bilion.

Eksport ke Amerika Syarikat terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan pengembangan 4.2 peratus kepada RM5.22 bilion berbanding Ogos 2011, disumbangkan terutamanya oleh barangan E&E yang meningkat 12 peratus.

Eksport ke China berkurangan 10.6 peratus kepada RM7.51 bilion, berikutan permintaan domestik dan aktiviti perkilangan yang lebih rendah di negara itu.

Sementara itu, eksport ke Jepun meningkat 15.4 peratus kepada RM7.05 bilion, dengan eksport gas asli cecair mencatatkan peningkatan.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu di zon Euro terus memberi kesan kepada eksport Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU), kata MITI.

Pada Ogos 2012, eksport ke rantau tersebut turun sebanyak 24.2 peratus kepada RM4.75 bilion.

Eksport ke negara EU utama termasuk Belanda turun 16.1 peratus kepada RM1.41 bilion, Jerman susut 25.4 peratus kepada RM1.25 bilion manakala United Kingdom merosot 19.4 peratus kepada RM477.6 juta.

Dari segi barangan, penurunan dalam eksport ke EU berikutan eksport barangan E&E, kimia, getah mentah dan minyak sawit yang lebih rendah.

Jumlah perdagangan Malaysia masih kukuh pada lapan bulan pertama 2012, mengembang 4.2 peratus kepada RM868.8 bilion berbanding tempoh yang sama 2011.

Eksport naik 1.5 peratus kepada RM465.29 bilion manakala import berkembang 7.4 peratus kepada RM403.5 bilion.

Antara lima rakan dagangan utama, pengembangan dagangan dicatatkan dengan Asean (+7.7 peratus), China (+10.5 peratus) dan Jepun (+4.5 peratus) manakala dagangan dengan EU susut 2.7 peratus dan AS berkurangan 1.5 peratus.

Perdagangan dengan Asean bernilai RM236.57 bilion menyumbang 27.2 peratus perdagangan Malaysia berbanding 26.3 peratus antara Januari dan Ogos 2011.

Eksport ke AS bagi lapan bulan pertama 2012 berkembang 5.8 peratus kepada RM40.38 bilion manakala import susut 8.9 peratus kepada RM34.13 bilion dengan jumlah dagangan berkurangan 1.5 peratus kepada RM74.51 bilion.

Jumlah import semasa tempoh Januari-Ogos 2012 meningkat sebanyak 7.4 peratus kepada RM403.5 bilion disumbangkan oleh barangan perantara, barangan modal dan barangan penggunaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment