My Add

Saturday 6 October 2012

Ekonomi Malaysia lebih seimbang, tidak terlalu bergantung kepada FDI

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Oktober, 2012: Ekonomi Malaysia kini lebih seimbang dan tidak terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) untuk bertahan, terutama dalam menghadapi gelora dunia yang besar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Pada Perbualan CNBC bersama Najib Razak yang disiarkan hari ini, Perdana Menteri berkata, tahun ini tidak sahaja menyaksikan angka FDI yang ketara, malah pelaburan domestik turut meningkat.
 
"Tahun ini dijangkakan baik. Mungkin tidak sebaik tahun lepas, namun ia akan mencatat prestasi kukuh dari segi pelaburan langsung asing selain pelaburan domestik yang sangat menarik memandangkan pada masa lepas kita bergantung besar ke atas pelaburan langsung asing, namun kini ia lebih seimbang," katanya pada program 30 minit yang dihoskan oleh Martin Soong.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, tahun lepas merupakan tahun luar biasa bagi ekonomi domestik, melibat FDI, berbanding 10 tahun lepas, yang memberi gambaran jelas mengenai keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Beliau berkata, ia adalah prestasi yang baik dan pemulihan yang hebat semasa tempoh sukar terutama negara berhadapan dengan gelora dunia yang kuat.

Tahun lepas kemasukan FDI ke Malaysia meningkat 12.3 peratus kepada RM32.9 bilion berbanding RM29.3 bilion pada 2010, dengan sektor perkilangan menjadi penyumbang tertinggi, sebanyak 50.1 peratus daripada keseluruhan kemasukan FDI.

Selain mengurangkan defisit belanjawan, Najib berkata kerajaan perlu bertanggungjawab dengan menilai dan menangani isu teras asas yang membabitkan rakyat seperti kos hidup, perumahan, pendidikan, pengangkutan dan kesihatan.
Perdana Menteri berkata, dalam demokrasi dunia moden, berkhidmat kepada rakyat merupakan prinsip asas demokrasi.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, dan kerajaan yang perihatin kepada rakyat, kami perlu menangani isu-isu tersebut. Namun pada masa yang sama Martin, kami mesti bertanggungjawab secara fiskal.

"Anda tahu, kerajaan berbelanja secara berhemat, saya tidak mahu terdorong untuk menjadikannya belanjawan prapilihan raya, seperti yang saya katakan kita tidak memberi banyak sehingga boleh menyebabkan defisit meningkat," katanya.

Pada 28 September, Najib berkata, kerajaan komited mengurangkan defisit belanjawan kepada empat peratus tahun depan dan tiga peratus pada 2015.

"Selepas itu, saya mahu mencapai belanjawan lebihan, jika boleh. Namun saya tidak mahu membuat komitmen padu ketika ini. Saya mahu merealisasikan 2015 dahulu," kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata, peningkatan kutipan cukai tahun lepas membolehkan kerajaan memberi bantuan tunai kepada rakyat dan pada masa yang sama mengekalkan defisit belanjawan pada paras boleh diurus. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment