My Add

Sunday 7 October 2012

Ekonomi negara kukuh - Najib
 *NAJIB Tun Razak menandatangani plak Pecah Tanah Loji Bio_Metionina dan Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Terengganu, semalam. Turut hadir Ahmad Said (dua, kiri). - BERNAMA
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan RADHUAN HUSSAIN 
KEMAMAN, SABTU. 06 Oktober, 2012: Ekonomi negara masih berada di landasan kukuh berdasarkan keupayaan menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang mencecah lebih RM13 bilion pada suku pertama tahun ini walaupun situasi ekonomi global terus tidak menentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia jelas membuktikan para pelabur asing mempunyai keyakinan terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

"Apabila kerajaan menerima pelaburan asing masuk ke negara ini, selain meningkatkan ekonomi negara, kerajaan juga akan mempertimbangkan bagaimana pelaburan yang diterima dapat memberi limpahan manfaat kepada rakyat.

"Manfaat itu adalah dari segi peluang pekerjaan, perniagaan, peningkatan taraf sosioekonomi dan tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat setempat," katanya ketika berucap dan menyempurnakan majlis pecah tanah Loji Pembuatan Biometionina dan platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih dekat sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan barisan Exco kerajaan negeri.

Turut hadir, Duta Besar Perancis ke Malaysia, Martine Dorance; Duta Republik Korea, Lee Yong Joon; Naib Presiden Eksekutif Arkema, Marc Schuller; Ketua Pegawai Eksekutif CheilJedang (CJ), Kim Chul Ha dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.

ECERDC dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) merupakan rakan kerjasama dalam menarik pelaburan itu ke Malaysia dan merealisasikan pelaksanaannya di Taman Biopolimer Kertih.

Projek di kawasan seluas 70 hektar yang dijangka mula beroperasi Disember tahun depan diusahakan dengan kerjasama syarikat CheilJedang (CJ) dari Korea dan Arkema dari Perancis melibatkan pelaburan berjumlah RM2 bilion.

Fasiliti bersepadu itu merupakan yang pertama di dunia menggunakan proses penapisan dalam menghasilkan metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.

Najib berkata, Terengganu khususnya amat bertuah kerana menerima pelaburan begitu besar dan nama negeri itu kini terpahat di peta dunia dalam sektor industri bioteknologi di samping mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan negeri yang mengambil inisiatif menjayakannya.

"Adakah kita pernah terfikir suatu hari kita mampu mempunyai projek sebesar ini yang akan membawa Terengganu sebaris dengan pengeluar dan pengeksport global. Hari ini, terbukti kita mampu lakukannya hasil daripada perancangan teliti dan pelaksanaan yang baik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya difahamkan usahasama CJ dan Arkema sahaja diunjur menjana pendapatan negara kasar (PNI) sebanyak RM11.1 bilion menjelang 2020 dan RM20 bilion nilai jualan, selain menyediakan 500 peluang pekerjaan, kebanyakannya untuk penduduk tempatan.

"Dengan unjuran FDI sebanyak RM7 bilion, kompleks seluas 1,000 hektar itu dijangka diduduki lapan pengusaha bioteknologi global menjelang 2015," katanya.

Dalam sidang akhbar kemudian, Najib menjelaskan, tindakan pembangkang cuba memutarbelitkan fakta mengenai ekonomi negara yang kononnya dilanda kekalutan tidak akan menghalang kemasukan pelabur asing ke negara ini.

"Pelabur asing tidak membuat keputusan apa yang pembangkang buat. Mereka bergantung pada fakta dan indeks pelaburan sebagai alasan untuk pilih Malaysia. Mereka tetap yakin dengan pengurusan ekonomi di Malaysia," ujarnya. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment