My Add

Thursday 4 October 2012

FGV sangkal laporan beri kontrak kepada Weida Biogas

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berkata hari ini ia masih belum melantik mana-mana syarikat untuk membina loji biogas di kilangnya.

Merujuk kepada satu laporan dalam sebuah akhbar tempatan pada Isnin, ia berkata setakat ini tiada sebarang keputusan yang telah dibuat berkaitan dengan pemberian kontrak itu. 

Dilaporkan bahawa Weida (M) Bhd akan membina loji biogas di bawah projek perintis bagi FGV untuk merawat pengaliran keluar air cemar kilang minyak sawit di Kota Tinggi.

FGV berkata Weida merupakan satu daripada beberapa syarikat yang telah dipelawa untuk menyerahkan cadangan oleh Felda Palm Industries Sdn Bhd, anak syarikat Felda Holdings Bhd, yang dimiliki 49 peratus oleh FGV.

"Bagaimanapun, unit itu masih menilai cadangan-cadangan yang akan tertakluk kepada proses penilaian tendernya," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ia juga berkata FGV tidak bersetuju atau membenarkan Weida membuat sebarang pengumuman menggunakan namanya.

Laporan itu juga dibuat tanpa pengetahuan FGV, kata syarikat itu. Bertentangan dengan laporan yang menyebut projek biogas itu akan menjadi loji perintis, FGV telahpun mempunyai 12 loji memerangkap biogas sedia ada yang dipasang di kilang minyak sawit di lokasi seperti Besout (Perak), Jengka 8 (Pahang) dan Serting Hilir (Negeri Sembilan). 

FGV berkata Felda Global Group menjadi peneraju dalam projek biomas minyak sawit -- menjana tenaga boleh diperbaharui menggunakan produk sisa buangan daripada operasi perladangan huluannya.

Ia merancang membina 56 loji memerangkap biogas selain ketika ini mempunyai dua stesen janakuasa, enam loji kompos, empat loji mini pengegas dan satu loji pelet bahan api, kata syarikat itu.

Janakuasa biomas pertama di Sabah, projek mekanisme pembangunan bersih berasaskan Tandan Buah Kosong (EFB) pertama dunia, telah beroperasi sejak 2005.

Janakuasa kedua tetapi yang pertama disambung kepada grid, ketika ini sedang dibangunkan di Jengka, dijangka siap pada akhir tahun.

Usaha sama dengan Tenaga Nasional Bhd itu akan membekalkan 10.0 Megawat elektrik kepada grid nasional.

Felda Group mempunyai keupayaan unik untuk meneruskan projek tenaga 'hijau' berasaskan biomas.

Kira-kira 12 juta tan metrik EFB, mesokarpa, tempurung kelapa sawit dan batang lama sawit dijana setiap tahun daripada operasinya.

Kumpulan itu menjangka menjelang 2015, semua EFB yang dihasilkan dalam kumpulan akan digunakan sepenuhnya bagi pengeluaran produk tokokan nilai khusus.

FGV ialah pengendali perladangan ketiga terbesar dunia dari segi keluasan.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment