My Add

Thursday 4 October 2012

MITI: Kos milikan kenderaan di Malaysia antara terendah di Asean

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Kos keseluruhan pemilikan kenderaan di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau Asean, demikian menurut satu analisis perbandingan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam satu kenyataan hari ini, Miti berkata kos keseluruhan pemilikan kenderaan tersebut mengambil kira kos kenderaan, minyak petroleum, insurans dan cukai jalan. 

Harga petrol Gred Ron95 di Malaysia dengan subsidi adalah RM1.90 seliter, lebih rendah berbanding Thailand (RM3.80 seliter), Indonesia (RM3.35 seliter), Singapura (RM5.10 seliter), Vietnam (RM3.60 seliter) dan Filipina (RM3.20 seliter).

Analisis itu juga menunjukkan purata cukai jalan dan insurans tahunan di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini, dengan cukai jalan tahunan RM398 dan insurans tahunan RM3,062.

Cukai jalan dan insurans tahunan di Singapura menunjukkan bacaan tertinggi iaitu RM2,756 dan RM7,960, berbanding Indonesia (RM1,837 dan RM4,593), Thailand (RM459 dan RM6,736) dan Filipina (RM306 dan RM2,847).

Hasil analisis itu menunjukkan kos pemilikan kenderaan antarabangsa popular seperti Honda City, Toyota Vios, Honda Civic Toyota Altis, Honda Accord dan Toyota Camry di negara ini berada pada kedudukan terendah berbanding Indonesia dan Thailand.

Antaranya, kos pemilikan kenderaan berjenama Honda City di Malaysia, mengambil kira subsidi petrol, adalah RM126,491, lebih rendah berbanding Thailand (RM147,875) dan Indonesia (RM159,963). 

Kos pemilikan kenderaan berjenama Toyota Vios di sini adalah RM125,361, lebih rendah berbanding RM146,475 di Thailand dan RM147,283 di Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment