My Add

Wednesday 17 October 2012

Gagal penuhi syarat, 10% permohonan pelajar asing lanjut belajar ditolak

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Oktober, 2012: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata, kira-kira 10 peratus permohonan pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sehingga September lalu ditolak kerana tidak memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, sebanyak 3,049 dari 31,359 permohonan kemasukan pelajar asing sehingga 30 September tahun ini tidak diluluskan.

Kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen amat serius untuk memastikan hanya pelajar asing yang benar-benar tulen saja diterima untuk melanjutkan pelajaran di IPT tempatan, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Mohd Zin Mohamed (BN-Sepang) yang ingin tahu perancangan kementerian itu dalam memastikan kemasukan pelajar asing ke negara ini melalui tapisan yang sewajarnya.

Hou juga berkata, kementerian itu tidak mempertimbangkan pas lawatan sosial pelajar asing untuk dijadikan pas pelajar.

"Sistem tapisan daripada kementerian dan agensi ini penting supaya kita dapat tapis mereka dan mereka juga perlu untuk mengemukakan permohonan dari negara asal mereka," katanya.

Hou berkata, kementerian itu juga sudah mewujudkan sistem tapisan 'e-Student' yang antara lain memerlukan pelajar asing mengemukakan surat tawaran dari IPT yang berdaftar dengan kementerian.
Selain memenuhi kelayakan akademik yang ditetapkan dalam surat kelulusan kursus, katanya.

Beliau berkata, bagi pelajar dari negara Sub Sahara, mereka perlu mengemukakan Sijil Tiada Bantahan (NOC) sebagai syarat tambahan sebelum pas pelajar dapat dikeluarkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment