My Add

Saturday 13 October 2012

Harun Taib
Harun Taib: 'Tak payah layan Hasan Ali'

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
SHAH ALAM, SABTU, 13 Oktober, 2012:Saya tak layan Hasan Ali. Saya tak mahu komen pasal dia." Demikian menurut Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib ketika diminta mengulas kenyataan terbaru, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, yang meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan tanggungjawabnya sebagai Mursyidul Am parti tersebut.

Menurut Harun, Hasan bukan lagi ahli Pas dan “dia tidak berhak” untuk bercakap mengenai apa jua hal kepimpinan dalam Pas, apatah lagi untuk meminta Nik Aziz digantikan oleh timbalannya, Datuk Dr Haron Din.

“Tak payah layan lah Hasan Ali. Dia bukan ahli Pas,” katanya lagi sambil merujuk kepada desakan Presiden Jalur Tiga (Jati) itu yang mendakwa kenyataan Nik Aziz mempertahankan kerjasama di antara Pas dan DAP sebagai “menghiris hati” ahli dan penyokong Pas.

Ekoran kenyataannya mempertahankan DAP yang disifatkannya sebagai tidak pernah mengganggu perjuangan Pas dan menegaskan kerjasama dengan parti itu amat perlu bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Nik Aziz dikecam beberapa pihak.

Hasan juga berkata, Nik Aziz “agak keterlaluan” dalam mempertahankan DAP dengan menggambarkan parti komponen Pakatan Rakyat itu tidak pernah mengganggu Pas.

 Nasrudin Hassan Tantawi
Sementara itu, Salmila Druhamad Drahdin melaporkan Pemuda Pas Pusat menegaskan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali tidak berhak untuk meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan Mursyidul Am parti itu.

Sehubungan itu, Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kedudukan atau jawatan dalam parti adalah hak mereka yang masih menjadi ahli Pas dan bukannya orang luar seperti Hasan.

Hasan telah dipecat dari Pas awal Januari lalu.

“Siapa yang hendak jadi pemimpin, itu hak parti yang tentukan.

“Dia tak berhak membuat kenyataan tersebut sebab kepimpinan dalam parti adalah urusan parti,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan, memetik Hasan yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) menerusi tulisannya di laman sosial milik beliau, mendesak Nik Aziz melepaskan jawatannya susulan kenyataan mempertahankan kerjasama Pas dan DAP.

Menurut Hasan, Nik Aziz wajar menyerahkan jawatannya kepada timbalannya, Datuk Dr Haron Din yang lebih berupaya dan berwibawa.

Mengulas lanjut, Nasrudin sebagai generasi muda dalam parti Islam itu berkata, Pas masih memerlukan seorang pemimpin yang “berkhidmat dengan baik dan mampu memimpin parti” seperti Nik Aziz.

“Tok Guru Nik Aziz masih relevan untuk memegang amanah sebagai Mursyidul Am Pas,” tegas beliau.

Nasrudin turut mempertegaskan bahawa kenyataan Nik Aziz membela DAP yang didakwa Hasan “menghiris hati ahli dan penyokong Pas yang sudah tidak menahan perasaan sabar” difahami oleh anggota parti itu.

“(Kenyataan Tok Guru) bukan satu masalah buat kami. Bukan satu kewajaran Datuk Hasan memperbesarkannya.

“Harus difahami kenyataan Tok Guru dengan betul yang mana ia mempertegaskan dasar parti tahaluf siyasi, kerjasama politik di antara Pas, DAP dan PKR,” katanya.

“Kerjasama politik ini telah terjalin sejak sekian lama. Tidak ada yang mengelirukan atau tidak betul,” tambah beliau.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad menjelaskan kewajaran Pas membela DAP, yang menurut beliau, berlandaskan hukum agama.

“DAP atau mana-mana pihak yang dituduh dan difitnah tanpa bukti perlu diberikan pembelaan kerana Islam itu adil.

“(Hasan) jangan ikut atas dasar perasaan dan emosi. Buktikan apa yang Tok Guru Nik Aziz katakan adalah silap. Buktikan kenapa DAP tidak layak dibela,” kata Ahli Parlimen dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam.

Hasan dalam tulisannya menyatakan kebimbangan beliau sekiranya terus dibela parasit dalam Pas manakala DAP akan bermaharajalela dan terus menghina Islam.

“Saya bimbang kenyataan-kenyataan 'supreme' ini akan menjadikan pimpinan DAP dan sebahagian daripada pimpinan Pas daripada golongan parasit terus mendapat pembelaan dan menjadikan mereka lebih ganas menghentam Islam dan perjuangan Pas disebabkan “peluru” yang disediakan oleh TGNA (Nik Aziz),” kata Hasan.

Menjawab kepada kenyataan itu, Khalid berkata, jelas sekali Hasan kini mengamalkan politik “marah anak, sindir menantu”.- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment