My Add

Sunday 7 October 2012

IAACA akui kesungguhan usaha M'sia dalam banteras rasuah

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Oktober, 2012: Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) telah memperakui kesungguhan usaha kerajaan Malaysia dalam memerangi amalan rasuah.

Naib Presidennya Dr Eduardo Vetere berkata Malaysia sedang melakukan usaha baik menerusi inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mencegah dan mengurangkan rasuah.

Dengan kerajaan memberi keutamaan kepada isu rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP), beliau berkata ia menunjukkan penglibatan serius kerajaan dalam hal tersebut.

"Melalui penubuhan institusi seperti Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), IAACA boleh melihat kerajaan dan agensinya terlibat sepenuhnya dalam transformasi Malaysia ke arah mencegah rasuah dan amat serius dalam membanteras gejala ini," katanya.

Vetere berkata demikian di luar Konvensyen IAACA Keenam di sini hari ini.

Menyifatkan usaha memerangi rasuah sebagai proses perubahan budaya berterusan, beliau berkata ia akan memerlukan pelaburan yang besar dari segi masa, sumber dan kewangan untuk melihat hasilnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment