My Add

Friday 5 October 2012

Ibadah korban di masjid, surau tidak berubah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Ibadah korban di negara ini yang dilakukan oleh umat Islam di masjid dan surau tidak berubah, walaupun kerajaan Australia mengenakan peraturan baru terhadap ternakan yang dibawa masuk dari negara itu.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, syarat yang dikenakan tidak banyak berbeza dan tidak bercanggah dengan apa amalan Malaysia sekarang.

Beliau berkata, Australia mengkehendaki Malaysia menaik taraf premis dan juga pusat penyembelihan.

''Peraturan tersebut hanya berkuat kuasa ke atas ternakan yang diimport dari Australia,'' katanya seperti dilaporkan dalam Buletin Utama TV3 hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, ternakan untuk korban lazimnya mengambil bekalan dari dalam negara atau diimport dari Thailand.

Namun demikian, sebagai usaha menaik taraf proses penyembelihan di Malaysia, satu garis panduan yang digubal bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dilancarkan 18 Oktober ini.

Katanya, antara perkara yang disarankan ialah tempat penyembelihan khusus dan lengkap di masjid mahupun surau.

"Tempat penyembelihan itu sendiri mesti menepati satu kriteria yang boleh menjamin keselamatan ternakan itu sendiri.

''Kita lihat amalan-amalan yang lepas tu dia orang begitu mudah sekali hendak menyembelih, sediakan lubang dan sebagaimana dan terus disembelih, jadi banyak isu," ujarnya.

Kerajaan Australia seperti dilaporkan oleh Buletin Utama TV3 dua hari lalu, memberi amaran akan menyekat langkah mengeksport haiwan tersebut jika undang-undang yang berkuat kuasa sejak 30 September lalu tidak dipatuhi oleh negara-negara terlibat termasuk Malaysia.

Berikutan itu, bagi mengelakkan berlaku bekalan tidak mencukupi semasa sambutan Aidiladha pada 26 Oktober ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa kerajaan mencari negara alternatif bagi mendapatkan haiwan tersebut.

Katanya, antara negara yang boleh dijadikan pengganti ialah Sudan, Mongolia dan Pakistan.

Nadzim menegaskan, tindakan kerajaan Australia itu dilihat tidak relevan dan hanya mengambil keputusan sebelah pihak sahaja.

"Kerajaan Australia tidak boleh membuat satu keputusan berdasarkan satu kes. Ini dilihat satu usaha menguasai budaya dan amalan agama kita. Kita umat Islam amat menitikberatkan nilai-nilai kemanusiaan terhadap binatang.

"Selain itu, perkara ini juga perlu membuka mata kerajaan bahawa kita perlu mengambil tindakan drastik seperti memajukan sektor penternakan lembu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Nadzim, undang-undang itu jika diguna pakai di negara ini akan menyusahkan penduduk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, hal ini demikian kerana kerajaan Australia hanya membenarkan 15 rumah penyembelihan di negara ini yang kesemuanya terletak di Semenanjung.

Sementara itu, mengulas isu tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah menyediakan garis panduan mengenai proses penyembelihan lembu yang diimport dari luar negara kepada Jabatan Veterinar untuk diguna pakai.

Beliau berkata, garis panduan itu disediakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri bagi panduan orang Islam, organisasi serta badan-badan perseorangan yang ingin membuat penyembelihan tidak kira dilakukan di rumah penyembelihan, masjid atau surau.

"Kita menyokong bahawa kebajikan haiwan itu perlu menjadi keutamaan kerana dalam Islam sendiri penggunaan pisau mesti ditajamkan selain perlu menghadap kiblat.

"Kita juga menyediakan garis panduan supaya binatang-binatang itu diberikan keadilan walaupun hendak disembelih dan tidak boleh dipukul sewenang-wenangnya atas alasan binatang tersebut tidak boleh melarikan diri.

"Selain itu, garis panduan ini juga bagi memberi keadilan kepada binatang yang hendak disembelih," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment