My Add

Sunday 7 October 2012

Jangan putus asa galak anak dalam pelajaran - Dr. Siti Hasmah
 *DR. MAHATHIR Mohamad bersama Dr. Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) dan Zaki Azmi melihat Anugerah Presiden yang diterima oleh pelajar Ivan Lim Chen Ning (kanan) dalam Majlis Konvokesyen Ke-13 Universiti Multimedia di Cyberjaya, semalam. Turut kelihatan Muhammad Radzi Mansor (kiri). - MINGGUAN/HANAFI KHAMIS
CYBERJAYA, SABTU, 06 Oktober, 2012: Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menyeru para ibu bapa tidak berputus asas dalam memberi motivasi dan galakan kepada anak masing-masing untuk berjaya dalam pelajaran.

Isteri kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad itu berkata, tidak dinafikan pendidikan mampu memberi harapan yang cerah kepada pelajar, keluarga dan masyarakat untuk hidup selesa dan sempurna pada masa depan.

Katanya, melabur dalam bidang pendidikan anak-anak merupakan satu pelaburan yang paling bernilai tinggi dalam usaha membangunkan negara.

''Arwah bapa sering memberi semangat kepada saya untuk berjaya dalam pelajaran walaupun pada zaman itu, golongan wanita jarang diberikan peluang sedemikian.

''Ini kerana arwah berpendapat, jika diberi pendidikan kepada seorang anak lelaki, bermakna mendidik seorang individu saja tetapi sekiranya diberi pendidikan untuk seorang anak perempuan seolah-olah mendidik sebuah negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah Kehormat Kedoktoran Pendidikan di Majlis Konvokesyen ke-13 Universiti Multimedia (MMU) di sini hari ini.

Beliau menerima anugerah berkenaan daripada Canselor Kedua MMU, Tun Zaki Tun Azmi yang juga bekas Ketua Hakim Negara.

Hadir sama Pro Canselor MMU, Tan Sri Ir. Muhammad Radzi Mansor.

Seramai 3,815 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah menerima skrol masing-masing pada majlis itu.

Menyentuh mengenai anugerah Kehormat Kedoktoran Pendidikan yang diterimanya, Dr. Siti Hasmah melahirkan rasa syukur dan gembira menerima anugerah berkenaan.

Sementara itu, Zaki dalam ucapannya menyarankan para graduan tidak menumpukan usaha mencari pekerjaan sahaja.

''Ini kerana, peluang untuk mencari nafkah hari ini tidak hanya terhad kepada bekerja makan gaji tetapi juga menjadi usahawan yang berjaya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment