My Add

Sunday 7 October 2012

Wacana pemikiran, peradaban perkukuh penyatuan umat Islam

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Oktober, 2012: Seminar Dakwah Nasional 2012 dalam siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah Ke-4, Isnin dan Selasa ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi medan perbincangan bagi mengembangkan dakwah serta memperkukuhkan penyatuan umat Islam di Malaysia.

Program anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) itu akan mengadakan perbincangan tentang kaedah dan strategi terbaik dalam meningkatkan keberkesanan usaha dakwah terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Pengarah Institut Tamadun Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, masyarakat Islam di zaman kini terdedah dengan pelbagai dakyah songsang termasuk pluralisme dan liberalisme agama berikutan kepesatan teknologi maklumat.

Sehubungan itu, beliau yang akan membincangkan kertas kerja bertajuk Peranan Media Dalam Dakwah Islamiah berkata, satu perbincangan terperinci dalam menentukan garis panduan atau gagasan paling sesuai terhadap kebebasan media siber dan program televisyen perlu dilaksanakan bagi mengelakkan dakyah berkenaan daripada berleluasa.

"Kita kini dipromosikan dengan fahaman hak asasi, liberalisme dan pluralisme agama pada media terutama di alam siber.

"Kita kena tegas untuk mengelakkan daripada umat Islam terus cenderung ke arah itu, termasuk program hiburan tidak berfaedah di televisyen yang menyebabkan leka dengan tanggungjawab sebagai seorang Islam," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Oleh itu, dalam perbincangan nanti, Abdul Latiff akan menerangkan berhubung gagasan komunikasi Islam yang sesuai untuk negara ini dalam mengawal, mengkaji dan memperbetul penerbitan maklumat-maklumat agar ia selaras dengan ajaran agama kedua terbesar di dunia itu.

Jelas beliau, media sebagai entiti paling rapat perlu berperanan menerapkan nilai-nilai murni mengikut acuan budaya negara ini terutama dalam menyebarkan syiar Islam, memandangkan sejak akhir-akhir ini masyarakat Islam Malaysia seperti kehilangan arah.

"Kegagalan para pendakwah yang sepatutnya menjadi pemandu dan penyuluh kepada mereka tidak lagi berfungsi dengan baik, sehubungan itu, penambahbaikan perlu dilaksanakan bermula dengan perbincangan pada platform dakwah seperti seminar ini," ujarnya.

Seminar dua hari yang bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah itu dijangka dihadiri 1,000 peserta dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Maklumat lanjut tentang seminar itu boleh diperoleh dengan melayari blog muafakatmalaysia.com atau menghubungi urus setia di talian 03- 41071025. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment