My Add

Wednesday 10 October 2012

Jangan tabur fitnah melampau, amaran MB Perak

 Dr Zambry Abdul Kadir
 IPOH, RABU, 10 Oktober, 2012: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini memberi amaran kepada pembangkang agar tidak menabur fitnah keterlaluan terhadap kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) itu jika tidak mahu berdepan tindakan undang-undang.

Beliau juga mahu agensi dan jabatan kerajaan negeri itu mengambil tindakan serupa jika mereka menjadi mangsa fitnah melampau pembangkang.

"...agensi-agensi perlu ambil tindakan kerana jika dibiarkan perkara ini, orang akan percaya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Zambry berkata beliau mendapati sejak kebelakangan ini pembangkang semakin rancak membuat kenyataan berbentuk pembohongan sebagai strategi politik peringkat akhir menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan sekarang ini adalah supaya pihak media ambil maklum perkara itu dan menyebarkannya kepada umum bagi tujuan menanam kebencian rakyat terhadap pimpinan BN," katanya.

Beliau juga menegaskan kerajaan negeri memandang serius semua tuduhan yang dilontar pembangkang menerusi pelbagai medium termasuk laman sosial dan blog.

"Mereka perlu ingat bahawa mungkin pelanduk boleh lupa jerat tapi jerat tidak lupa pelanduk, jadi berhati-hati," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pembangkang bahawa kroni BN terbabit dalam projek kerajaan negeri, Zambry berkata tindakan itu bertujuan menakut-nakutkan kerajaan negeri ketika mahu meluluskan projek pembangunan di Perak.

"Ini supaya tidak berlakunya pembangunan di Perak dan ia memudahkan mereka pula untuk menyatakan bahawa pemerintahan di bawah pimpinan BN di Perak ini tiada pembangunan langsung dan ini akan dijadikan satu hujah untuk mewajarkan apa yang mereka katakan sebelum ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment