My Add

Wednesday 10 October 2012

Hasan Ali sokong Nasharudin, gembira 'Majlis Syura kembali wibawa'

 Dr Hasan Ali
SHAH ALAM, RABU, 10 Oktober, 2012: Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini menyatakan sokongan kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang semalam mengingatkan supaya tidak mengutamakan soal kuasa semata-mata, sambil menyifatkan Majlis Syura parti itu kini "kembali berwibawa."

"Saya gembira melihat Majlis Syura Ulama telah mula kembali berwibawa," kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dipetik Sinar Harian

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Hasan berkata: "Saya harap Majlis Syura Ulama dapat mengambil tindakan drastik dalam masa terdekat membebaskan Pas daripada musuh-musuh Islam dari luar dan golongan parasit dari dalamnya."

Bahkan menurut Hasan, apa yang diperkatakan oleh Nasharudin bukan sesuatu yang baru.

“Ustaz Nasharudin hanya mengulangi pendirian beliau terhadap masalah besar yang sedang dihadapi oleh Pas.

“Antaranya Pas terpaksa tunduk kepada DAP dan PKR berhubung dengan negara Islam dan hudud. Pas juga didakwa menjadikan isu negara Islam sebagai isu kedua manakala mendapatkan kuasa dengan menawan Putrajaya sebagai matlamat utama,” katanya yang dipecat oleh Pas awal tahun ini.

Selepas mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan pelbagai perkara dalam parti yang menggabungkan, Pas, PKR dan DAP termasuk keutamaan Pas dalam politik, Nasharudin terus mendapat kecaman hebat daripada pimpinan parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar hari ini berkata, Nasharudin telah “menyentuh dan mencabar” keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip di tempat kedua.

Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, Mahfuz berkata, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.

"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Namun menurut Hasan lagi, apa yang diperkatakan oleh Nasharudin memang berlaku dalam Pakatan dan tidak harus dikaitkan dengan Umno.

“Jelas kelihatan pimpinan Pas benar-benar ketandusan modal sehingga mengambil jalan pemikiran yang paling mudah dan dangkal bahawa sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam Pas pada setiap ketika dikaitkan dengan Umno.

“Adakah semua pendapat yang menyelar Pas sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud juga didalangi oleh Umno,” katanya lagi.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad hari ini memberitahu tidak ada keperluan untuk mengadakan muktamar agung tahunan khas bagi membincangkan mengenai konflik dalaman yang dicetuskan Nasharudin. 

Berikut disiarkan kenyataan akhbarr Datuk Dr Hasan Mohd Ali:.

"Kenyataan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa sewaktu membentangkan kertas kerja di dalam Seminar Dakwah Islamiyyah anjuran Muafakat di PWTC semalam telah menimbulkan berbagai reaksi daripada pimpinan Pas dan DAP.

Pimpinan Pas menganggap kenyataan Nasharudin sebagai pendapat peribadi tidak mewakili parti. Sementara pimpinan DAP mahu melihat pimpinan tertinggi Pas mengambil tindakan terhadap Nasharudin yang menyentuh kaitan DAP dengan pembentukan Malaysia sebagai negara Kristian.

Bagi saya Nasharuddin hanya mengulangi pendirian beliau terhadap masalah besar yang sedang dihadapi oleh Pas. Antaranya Pas terpaksa tunduk kepada DAP dan PKR berhubung dengan negara Islam dan hudud. Pas juga didakwa menjadikan isu negara Islam sebagai isu kedua manakala mendapatkan kuasa dengan menawan Putrajaya sebagai matlamat utama.
Nasharudin tidak berganjak dari segi posisi yang beliau ambil mengenai penguasaan DAP dan PKR terhadap Pas dan juga penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh pimpinan DAP dan PKR.

Ada di antara pimpinan Pas seperti biasa mendakwa Nasharudin mempunyai agenda politik tersendiri yang dikaitkan dengan agenda Umno.

Jelas kelihatan pimpinan Pas benar-benar ketandusan modal sehingga mengambil jalan pemikiran yang paling mudah dan dangkal bahawa sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam Pas pada setiap ketika dikaitkan dengan Umno.

Adakah kenyataan-kenyataan yang hampir serupa nadanya yang keluar dari mulut Ketua Dewan Ulama, Timbalan Murshidul Am Pas dan lain-lain pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang agak keras mengenaihalatuju Pas dewasa ini juga dikaitkan dengan Umno? Adakah semua pendapat yang menyelar Pas sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud juga didalangi oleh Umno? Adakah suara-suara yang semakin lantang di kalangan ahli dan penyokong Pas di merata tempat menyuarakan ketidakrelaan mereka menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR juga kerja Umno?

Pimpinan Pas yang tidak sedarkan diri ini perlu melihat ke arah cermin menyaksikan wajah sendiri di samping melihat kerja-kerja dua lagi rakan kongsi mereka DAP dan PKR. Kedua-dua rakan kongsi ini dikatakan begitu licik dan semakin berani mengutuk dan menghina Islam.

Reaksi pemimpin-pemimpin tahap kedua dan tahap ketiga dalam hierarki Pas seperti yang dilaporkan bagi saya tidak lebih daripada memberi gambaran darjah kecelaruan dan kegoyahan Pas untuk menghadapi PRU13. Saya mendapat tahu dalam perjumpaan-perjumpaan yang diadakan di berbagai peringkat, pimpinan tidak dapat berhujah dan memberi jawapan yang memuaskan kepada ahli dan penyokong parti terutama yang berkaitan dengan isu Pas terpaksa tunduk kepada kandungan Buku Jingga dan mengenepikan Kitab ALLAH yang menghendaki hamba-Nya melaksanakan tatacara hidup berpaksikan Islam.

Sekali lagi saya menyokong pendirian dan ketegasan yang ditunjukan oleh Nasharudin. Dalam banyak hal saya sependapat dengan beliau terutama dalam perkara-perkara yang bersifat fundamental seperti negara Islam dan hudud. Juga termasuk usaha mempertahankan maruah Islam. Kami bersetuju kita tidak perlu berkompromi dalam perkara-perkara pokok ini.

Saya gembira melihat Majlis Syura Ulama telah mula kembali berwibawa. Saya harap Majlis Syura Ulama dapat mengambil tindakan drastik dalam masa terdekat membebaskan Pas daripada musuh-musuh Islam dari luar dan golongan parasit dari dalamnya."

No comments:

Post a Comment