My Add

Sunday 7 October 2012

Kawal harga susu formula bayi

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Oktober, 2012: Pengguna terutama ibu bapa meminta supaya susu formula bayi turut dijadikan barangan kawalan bagi mengawal harganya yang semakin meningkat akhir-akhir ini.

Mereka bimbang sekiranya pihak pengeluar dibiarkan menaikkan harga sesuka hati, ia akan menyebabkan ibu bapa yang berpendapatan sederhana dan rendah terpaksa memilih susu yang kurang berkualiti untuk bayi mereka.

Seorang suri rumah, Azila Awaludin, 35, berkata, beliau amat risau dengan harga susu formula bayi yang tidak menentu di pasaran.

"Suami saya bukannya berpendapatan tinggi dan keadaan ini memaksa saya memilih susu formula bayi yang paling murah bagi anak saya.

"Saya juga kesian dengan golongan miskin terutamanya yang mempunyai anak ramai dan tidak mampu membeli susu bayi yang mahal," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbang langkah untuk mengawal kenaikan harga susu formula bayi agar tidak membebankan pengguna di samping menentukan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat memberikan susu yang berkhiasat untuk bayi mereka.

Al-Hafiz Jaamat Wok, 27, berkata, kerajaan harus memainkan peranan penting dalam menentukan harga susu bayi.

"Kerajaan haruslah berikan subsidi kepada susu bayi dan tidak memandang ringan dalam isu ini kerana ramai ibu bapa tidak dapat tampung perbelanjaan yang kini melebihi had," katanya.

Katanya, beliau terpaksa membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan pasar raya sebelum membeli susu bayi.

Seorang pengasuh bayi, Wan Norasikin Abdul Cader, 42, berkata, beliau terpaksa mengeluarkan lebih RM200 sebulan bagi menampung kos membeli susu bayi.

"Pasar raya biasanya memberi promosi kepada barang-barang lain tapi tidak bagi susu bayi," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan supaya cepat bertindak agar tidak membebankan pusat asuhan bayi yang akhirnya juga akan membebankan ibu bapa yang menghantar bayi mereka ke pusat asuhan.

Seorang pengusaha pasar raya, K. Sathiah, 43, berkata, jumlah pembeli susu formula bayi semakin berkurangan sejak harga bahan itu meningkat.

"Ini kerana kebanyakan pembeli terpaksa memilih susu bayi yang murah dan kami terpaksa kurangkan harga susu bayi berbanding dengan harga yang ditetapkan oleh pembekal.

"Ramai pembeli menyatakan rasa tidak puas hati dengan harga susu bayi yang tidak menentu dan meningkat setiap bulan dan saya berharap kerajaan akan melakukan sesuatu bagi mengawal kenaikan harga ini," katanya.

Media telah melaporkan bahawa terdapat pengeluar susu formula bayi menaikkan harga sehingga RM15 sekilogram sejak dua minggu lepas dan pengeluar yang belum menaikkan harga akan bertindak serupa dalam waktu terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilapor sebagai berkata, kerajaan tidak mengawal harga susu formula bayi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment