My Add

Monday 15 October 2012

Kelantan cuti Ahad depan sempena pasukan mara akhir Piala Malaysia

KOTA BHARU, AHAD, 14 Oktober, 2012: Kerajaan Kelantan mengisytiharkan Ahad depan sebagai cuti umum sempena kejayaan pasukan negeri itu mara ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Angkatan Tentara Malaysia (ATM), yang berlangsung Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata, langkah itu diambil bagi memberi keselesaan kepada peminat dan penyokong Kelantan yang pulang daripada menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Shah Alam, Selangor.

"Dengan kemudahan cuti itu, rakyat Kelantan yang pulang dari meyaksikan perlawananan itu tidak akan tergesa-gesa untuk balik bekerja keesokan harinya.

"Ini diputuskan kerajaan negeri dalam mesyuarat yang dipersetujui Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam," katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar, hari ini.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz turut meminta pemain, penyokong dan peminat pasukan Kelantan menjaga disiplin serta menunjukkan sikap dan semangat kesukanan yang tinggi semasa berdepan suasana perlawanan akhir itu.

Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri juga pada mulanya bercadang memberi cuti peristiwa tambahan sehari lagi jika pasukan Kelantan muncul juara Piala Malaysia.

"Bagaimanapun, tarikh cuti tambahan itu bergantung kepada keputusan mesyuarat mengenai perkara itu selepas ini, yang turut membabitkan Jabatan Pelajaran dan pihak tertentu kerana ketika ini, pelajar sedang menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga tidak menolak kemungkinan memberi imbuhan lebih besar kepada pasukan bola sepak Kelantan yang berjaya mara ke perlawanan akhir.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan mengumumkan pemain pasukan itu akan mendapat durian runtuh sebanyak RM200,000 selepas berjaya mara ke peringkat akhir Piala Malaysia apabila mengalahkan Selangor dengan agregat 3-0 di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Kelantan adalah juara Piala FA dan Liga Super musim ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment