My Add

Saturday 27 October 2012

Kemuka calon dua minggu lebih awal

PUTRAJAYA, 27 Oktober, 2012: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan satu atau dua minggu lebih awal nama calon parti itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Setiausaha Agung BN merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata langkah itu kini sedang dikaji secara mendalam kesesuaian dan kesannya bagi mengelak timbul terlalu banyak polimik dan perbuatan sabotaj di kalangan ahli dan pemimpin parti.

Saya akui memang ada kebaikan dan keburukannya, jadi kita membuat pertimbangan sewajarnya. Kalau difikirkan kebaikannya lebih banyak untuk menamakan calon lebih awal, maka terserahlah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) membuat keputusan muktamad, katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Korban dan Kenduri Rakyat anjuran UMNO Bahagian Putrajaya di sini, semalam.

Pada majlis itu, UMNO Bahagian Putrajaya menyembelih 44 lembu untuk diagihkan dagingnya kepada fakir miskin, warga emas, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan serta penduduk di bandar raya ini.

Tengku Adnan berkata, semua parti komponen BN kini sudah menghantar nama bakal calon yang akan bertanding di Parlimen dan DUN, pada PRU-13 untuk diteliti pengurusan tertinggi parti.

Kita memang sudah menerima semua nama calon berkenaan dan hampir separuh sudah dimuktamadkan, manakala selebihnya sedang diteliti, katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, mengingatkan semua pemimpin dan ahli UMNO dan BN jangan percaya dengan dakwaan pihak tertentu mereka kini sedang melakukan kaji selidik dan mahu mendapatkan maklum balas pengundi mengenai calon PRU-13.

Saya difahamkan ada di kalangan mereka mengaku mereka mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau wakil khas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak atau Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau saya sendiri atau pemimpin parti komponen lain tetapi sebenarnya itu semua tidak betul.

Kita mahu pastikan bakal calon wakil rakyat BN pada PRU-13 terdiri daripada calon pilihan rakyat bukan calon parti atau ditentukan orang tertentu, katanya. - BH

No comments:

Post a Comment