My Add

Saturday 27 October 2012

Kementerian Luar bantu daftar pengundi pos

KUALA LUMPUR, SABTU, 27 Oktober, 2012: Kementerian Luar akan membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi pos di luar negara selepas pindaan peraturan pilihan raya diwartakan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata pihaknya sudah dimaklumkan pindaan terbabit yang akan diwartakan dan kini menunggu arahan selanjutnya daripada SPR.

Kita sedang menunggu arahan SPR kerana pindaan itu belum diedarkan kepada Ahli Parlimen dan diwartakan. Bagaimanapun, kakitangan di semua kedutaan dan pejabat perwakilan sentiasa bersedia.

Selepas diluluskan kita akan menampal notis dan mengambil tindakan sepatutnya bagi memastikan maklumat berkenaan sampai kepada rakyat Malaysia di luar negara, katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Kohilan meminta pengundi di luar negara berhubung dengan pihak kedutaan dan SPR jika mahu menjalankan tanggungjawab mengundi secara pos.

Pindaan peraturan mengenai pilihan raya berhubung pemilih di luar negara menjadi pengundi pos akan dibentang pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Ia adalah syarat tambahan yang menuntut rakyat Malaysia di perantauan berada di tanah air sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun sebelum Parlimen dibubar, untuk layak menjadi pengundi pos.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meminta pengundi di luar negara segera mengemaskini alamat bagi membolehkan mereka mengundi secara pos.

Beliau berkata, ia bagi memudahkan SPR menghantar kertas undi kepada mereka supaya dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Selepas pindaan itu diluluskan, pemilih perlu mendaftar kepada SPR bagi membolehkan mereka mengundi secara pos, katanya.

Katanya, sehingga kini kira-kira 2,500 rakyat Malaysia di luar negara berdaftar sebagai pengundi, walaupun jumlah mereka mencecah ratusan ribu.

Pada masa ini, hanya pelajar sepenuh masa dan pasangan serta penjawat awam serta pasangan di luar negara layak menjadi pengundi pos. - BH

No comments:

Post a Comment