My Add

Wednesday 10 October 2012

Kes Rafizi dedahkan penyata akaun NFC disebut semula 3 Disember

SHAH ALAM, RABU, 10 Oktober, 2012: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 3 Disember ini untuk sebutan semula kes Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dan seorang kerani bank yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Hakim Asmadi Hussin menetapkan tarikh itu sementara menunggu permohonan Mohd Rafizi, 35, untuk membatalkan pertuduhan ke atasnya didengar di Mahkamah Tinggi di sini. 

Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Mohd Shukri Ahmad Mansor hadir bagi pihak pendakwaan sementara Mohd Rafizi dan Johari Mohamad diwakili Latheefa Koya.

Pada 1 Ogos lalu, Mohd Rafizi mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu National Feedlot Corporation (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac lepas.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 41, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama. 

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bafia, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

Pada 10 September lalu, Mohd Rafizi memfailkan permohonan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan pertuduhan ke atasnya atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen berkenaan bermotifkan politik.

Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Oktober ini untuk pengurusan kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment