My Add

Wednesday 17 October 2012

Kisah hidup 'Pak Lah' digaleri Tun Abdullah Ahmad Badawi


*KETUA Setiausaha Negara (KSN), Datuk Dr Ali Hamsa (tengah) tertarik melihat satu koleksi cenderahati bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dipamerkan di Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Menara Prisma, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, RABU, 17 Oktober, 2012:: Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi, khusus untuk mempamerkan kisah hidup Perdana Menteri Malaysia yang kelima itu dan sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau terhadap pembangunan negara, hari ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Galeri berkeluasan kira-kira 5,500 kaki persegi itu terletak di Menara Prisma 26, Presint 3, di sini.

Dalam ucapannya, Ali berkata galeri itu adalah galeri sementara manakala Galeri Kebangsaan Tun Abdullah Ahmad Badawi dirancang untuk dibina dalam Rancangan Malaysia ke-11 nanti.

"Sungguhpun ia galeri sementara, ia tidak bermaksud galeri ini tidak lengkap – bahkan ia meliputi pelbagai aspek berhubung dengan Abdullah apabila beberapa sesi temu ramah dengan Tun Abdullah telah diatur untuk lebih mengenali dengan lebih mendalam personaliti beliau supaya galeri ini dapat mencerminkan keperibadian dan ketokohkan beliau.

"Paparan di galeri ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa, sekiranya orang awam yang mempunyai bahan-bahan yang boleh dipamerkan atau mengetahui akan sumber-sumber lain yang boleh menambah koleksi galeri, ia amatlah dialu-alukan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Abdullah dan isterinya, Tun Jeanne Abdullah.

Ali berkata usaha penubuhan galeri tersebut bertitik-tolak daripada permintaan pelbagai pihak untuk memperoleh maklumat berkenaan Abdullah yang lebih dikenali dengan panggilan mesra “Pak Lah” berhubung ciri kepimpinan, wawasan dan pemikirannya terhadap sistem pentadbiran dan dasar pembangunan negara, pengalaman peribadi beliau dan sebagainya. 

Katanya diharapkan galeri itu dapat memenuhi keperluan pengkajian akademik dan segala maklumat, dokumen serta bahan-bahan yang berkaitan dengan suka-duka pengalaman dan peristiwa yang dilalui oleh Abdullah.

"Jika dilihat dairpada aspek warisan negara, galeri ini adalah satu cara untuk generasi akan datang mengenali lebih dekat akan tokoh pemimpin kita yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Ali mencadangkan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi disenaraikan sebagai satu daripada destinasi utama lawatan ke pusat pentadbiran kerajaan persekutuan ini.

"Nilai-nilai unggul kepimpinan Abdullah menerusi galeri ini dapat mencetus idea-idea baru bagi meneruskan kejayaan negara ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

"Saya yakin setiap pengunjung akan menghayati segala pengalaman, idea dan gagasan Abdullah khususnya dalam usaha beliau memacu pembangunan dan kegemilangan negara berpandukan konsep Islam Hadhari," katanya.

Selain kisah hidup Abdullah bermula dari zaman kanak-kanak, galeri itu turut mempamerkan pelbagai koleksi seperti pingat dan darjah kebesaran, anugerah Doktor Kehormat, cenderamata, dokumen, gambar, lukisan, keratan akhbar serta buku-buku yang dihadiahkan ketika Abdullah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Selain itu, beberapa maklumat yang belum pernah dipaparkan di mana-mana media atau diketahui umum turut dizahirkan secara eksklusif.

Pameran di galeri itu dibahagikan kepada lapan bahagian iaitu sejarah awal, kerjaya dan kejayaan dalam perkhidmatan awam, penglibatan dalam politik, jawatan dalam pentadbiran, Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Malaysia kelima, hobi dan koleksi, Pingat/Darjah Kebesaran dan Anugerah Doktor Kehormat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment