My Add

Wednesday 17 October 2012

KPT belum terima laporan IPT tempatan terbabit jual ijazah palsu

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Oktober, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi belum menerima sebarang aduan mengenai penjualan ijazah palsu membabitkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang berdaftar dengan kementerian.

Timbalan menterinya, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata, siasatan yang dijalankan kementerian berhubung kes seumpama itu yang dilaporkan media sebelum ini, mendapati ia dilakukan oleh sebuah syarikat swasta dan individu tertentu yang menjual ijazah daripada universiti luar negara.

"Kementerian sentiasa membuat pemantauan ke atas IPT awam dan swasta bagi memastikan tiada yang terbabit dalam kes penjualan ijazah palsu. Tindakan tegas akan diambil jika didapati terbabit dalam kesalahan ini," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang mahu tahu usaha kerajaan membanteras gejala menjual ijazah palsu di negara ini, dan sama ada kerajaan berhasrat menyiasat kesahihan ijazah yang dimiliki penjawat awam termasuk anggota Parlimen.

Hou berkata, penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan, Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 di mana perkhidmatan mereka boleh ditamatkan jika didapati meminda atau memalsukan apa-apa dokumen berhubung dengan pelaksanaannya.

Menjawab soalan tambahan, Datuk Bung Moktar Rasin (BN-Kinabatangan) sama ada kerajaan mahu mengenakan hukuman keras ke atas universiti luar negara yang mengeluarkan ijazah palsu supaya rakyat dan negara tidak terus terpedaya, Hou berkata kementerian tidak boleh mengambil tindakan ke atas universiti luar negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa bukan semua universiti di luar negara mendapat pengiktirafan kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Tegasnya, masalah pemilikan ijazah palsu ini berlaku memandangkan tekanan sosial yang mementingkan status pendidikan akademik sehingga mendorong masyarakat mendapatkan status itu secara tidak sah.

"Untuk menangani masalah ini, masyarakat termasuk majikan perlu berusaha menyiasat dan menyemak jika sangsi berhubung penganugerahan akademik yang diterima seseorang. Dengan cara ini saja mereka yang berhasrat mendapatkan sijil secara haram akan berfikir panjang sebelum melakukannya," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment