My Add

Wednesday 17 October 2012

Usah politikkan isu sekolah agama rakyat: Mohd Puad

KUANTAN, RABU, 17 Oktober, 2012: Parti pembangkang diminta tidak lagi mempolitikkan isu sekolah agama rakyat (SAR) kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional, sejak sekian lama sentiasa memberi bantuan kepada sekolah berkenaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini supaya parti pembangkang turut sama dengan BN bagi membantu pendaftaran dan penukaran status SAR kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif dalam usaha memartabatkan pendidikan negara.

"Kerajaan tidak pernah mempolitikkan isu pendidikan, apa yang dilakukan adalah semata-mata untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dalam membangunkan negara ini," katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2012, dekat Gambang, di sini.

Beliau berkata, tindak tanduk parti pembangkang yang sentiasa mendakwa kerajaan meminggirkan SAR adalah tidak benar sama sekali.

"Dari dulu sehingga kini kerajaan tidak mempolitikan soal pendidikan negara termasuk tidak merancang menghentikan sekolah-sekolah vernakular itu.

"Masalah yang dihadapi oleh sekolah terbabit kerana pemiliknya enggan untuk menyertai SABK berikutan mereka mahu mewariskan sekolah berkenaan kepada generasi seterusnya," katanya.

Mohd Puad berkata, tahun lalu saja, sebanyak RM95 juta diperuntukkan bagi membantu menaik taraf kemudahan dan pendidikan di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, daripada 385 SAR dan sekolah agama negeri, hanya 196 mendaftar di bawah SABK setakat ini.

"Sekiranya sekolah berkenaan berbuat demikian, banyak manfaat diterima seperti skim guru tetap, kenaikan pangkat dan memiliki pencen selepas bersara," katanya.

Timbalan Perdana Menteri sebelum ini berkata, penukaran status SAR kepada SABK perlu dilaksana bagi memastikan sesebuah sekolah itu mendapat bantuan sewajarnya seterusnya tidak ditutup akibat masalah seperti kekurangan dana dan pemilikan tanah.

Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran membuat tawaran itu sejak dahulu lagi supaya kesemua pihak boleh membantu penambahbaikan sekolah agama dari segi infrastruktur, kualiti guru, kurikulum dan latihan guru. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment