My Add

Wednesday 3 October 2012

KSN: Masalah akidah perlu ditangani secara sistematik

BANGI, RABU, 03 Oktober, 2012: Masalah akidah di kalangan umat Islam di negara ini perlu diberi perhatian serius dan usaha menanganinya perlu disusun secara sistematik, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

 Dr Ali Hamsa
Beliau berkata kerajaan ingin melihat umat Islam di negara ini bebas daripada sebarang masalah akidah kerana kecelaruan akidah boleh memudaratkan kestabilan negara.

"Ia memerlukan kemahiran yang tinggi. Apalagi pada zaman manusia semuanya bijak dan berpengetahuan tinggi. Kita perlu banyak menggunakan teknik moden dan canggih bagi menarik masyarakat," katanya semasa merasmikan Konvensyen Perkhidmatan Hal Ehwal Islam 2012 di sini hari ini.

Tanggungjawab mendidik masyarakat menjadi baik bukanlah satu kerja mudah dan sehubungan itu beliau berkata sekiranya program mendekati mereka yang bermasalah memerlukan tumpuan masa yang lebih atau kajian komprehensif pihak tertentu, maka kerajaan bersedia menimbang peruntukan yang sesuai untuknya.

Ali berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian serius dengan menyediakan peruntukan bagi membangunkan umat Islam meningkatkan tahap pendidikan bermula daripada pendidikan prasekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam menangani permasalahan masyarakat, warga perkhidmatan hal ehwal Islam perlu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa terutamanya isu rasuah.

"Saya sangat berharap gejala itu tidak wujud langsung dalam perkhidmatan hal ehwal Islam kerana anda perlu menjadikan perkhidmatan ini sebagai contoh kepada penjawat awam lain," katanya.

Konvensyen sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dan kira-kira 800 pegawai dari pelbagai agensi perkhidmatan hal ehwal Islam.

Ia bertujuan memperkasa perkhidmatan hal ehwal Islam dengan kemahiran pengurusan yang efisien, cekap dan selaras dengan perkembangan masa kini.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment