My Add

Wednesday 3 October 2012

Ekonomi domestik kukuh akan tampan ekonomi terhadap kemudahruapan

 KUALA LUMPUR, RABU, 3 Oktober, 2012: Usaha berterusan kerajaan membina ekonomi domestik yang kukuh amat penting dalam memastikan pertumbuhan mapan dan seterusnya menampan negara terhadap kemudahruapan ekonomi global, kata Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Perdana Menteri berkata, mewujudkan ekonomi domestik yang lebih mantap dan memperkukuhkan subsidi adalah antara teras penting kerajaan seperti yang terbukti daripada usul yang terdapat di dalam Belanjawan 2013.

"Risiko menurun persekitaran luar memang sentiasa ada terhadap ekonomi tempatan di mana langkah-langkah proaktif seharusnya diambil untuk menanganinya.

"Ia adalah di luar kawalan kita. Ekonomi global luar melampaui kehendak kita, dan memang betul, kita perlu mengambil kira perkara itu," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika diminta mengulas mengenai risiko menurun persekitaran luar ke atas ekonomi negara walaupun mempunyai angka pertumbuhan ekonomi yang baik, pelaburan asing langsung yang meningkat dan ringgit terus mengukuh.

"Kami cuba majukan, pertama sekali ialah ekonomi domestik yang amat kukuh dan enjin pertumbuhan akan datang daripada ekonomi domestik," kata beliau semasa program prarakaman CNBC Conversation di sini hari ini yang dikendalikan oleh perantara terkenal, Martin Soong.

"Itulah sebabnya kami telah melakukan segala yang mungkin untuk menggalakkan perniagaan dan memudahkan pelaburan domestik di negara ini," kata Najib.

Mendapat mandat baru daripada pilihan raya umum yang akan datang amat penting bagi memastikan kesinambungan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan untuk Malaysia mencapai status negara berpendapatan tingginya, katanya.
Perdana Menteri berkata, tempoh lima tahun akan datang adalah tempoh yang amat genting untuk kerajaannya memenuhi janji-janji ini.

Menerusi pelaksanaan projek di bawah ETP, Malaysia mampu mengurangkan kebergantungan negara ke atas sumber seperti minyak sebagai sumber penting pendapatan dan pada masa yang sama membangunkan sektor-sektor lain yang boleh menjana pendapatan baru, katanya.

Selain mempelbagaikan aliran pendapatan untuk negara, Najib berkata adalah penting untuk merasionalisasikan subsidi dan menyalurkan subsidi yang disasarkan kepada kumpulan tertentu.

Beliau berkata adalah tidak betul untuk menaikkan harga barang bersubsidi sebaik sahaja mendapat mandat untuk tempoh lima tahun akan datang kerana rakyat akan mempersoalkan keikhlasan kerajaan.

Langkah-langkah untuk menurunkan subsidi dan menaikkan harga untuk barang bersubsidi adalah langkah yang betul untuk diambil, yang seharusnya memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka panjang.

"Terdapat banyak ketirisan daripada sistem dan kita perlu kambus lubang-lubang ini. Kita perlu bagitahu rakyat apa yang baik untuk mereka dan apa yang baik untuk negara, dengan memberi tumpuan kepada subsidi yang disasarkan," katanya ketika ditanya sama ada menurunkan subsidi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah antara agenda pertamanya sebaik sahaja kerajaan beliau memenangi pilihan raya.

Najib turut memaklumkan pentingnya untuk mempunyai perjanjian perdagangan bebas di celah-celah situasi tidak menentu global dan pengukuhan hubungan perdagangan antara negara-negara Asean dan Asia Timur dalam membina ekonomi domestik yang mantap.

"Kami tahu yang enjin pertumbuhan akan datang dari ekonomi domestik dalam jangka pendek tetapi kita lihat Asean dan Asia Timur sebagai pasaran yang amat penting untuk kami, kedua-duanya dari segi eksport serta sumber FDI.

"Menjadikan Asean dan Asia Timur sebuah rantau yang bersepadu/berintegrasi adalah matlamat utamanya," katanya.

Ditanya mengenai risiko sebenar yang Malaysia mungkin hadapi kerana menyertai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), Perdana Menteri berkata:

"Sekali lagi, perlu adanya keseimbangan yang betul apa yang disifatkan sebagai penerimaan.

"Mesej yang telah saya sampaikan kepada Amerika Syarikat dan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton di Vladivostok ialah, kita perlu rendahkan diri daripada kedudukan yang agak tinggi dan menjadi lebih praktikal kerana jika kita mendapat 70 peratus daripada apa yang kita mahu, itu adalah lebih baik daripada tidak dapat langsung," katanya.

TPP ialah inisiatif perjanjian perdagangan bebas melibatkan sembilan negara iaitu Australia, Brunei, Chile, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Setakat ini, 14 pusing perundingan telah diadakan.

Prarakaman selama 30 minit itu akan disiarkan Sabtu ini, jam 12 tengah hari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment