My Add

Sunday 21 October 2012

Kurang bernasib baik dibela

*NAJIB bersalam dengan penghuni kanak-kanak Pertubuhan Kebajikan Ti-Ratana 
ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-15 Ti-Ratana di Kuala 
Lumpur, malam tadi. - MINGGUAN/MOHD. NOOR MAT AMIN
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, SABTU, 20 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan sentiasa memastikan setiap rakyat di negara ini terutama golongan kurang bernasib baik berhak mendapat akses kepada kemudahan asas seperti tempat perlindungan dan pendidikan.

Perdana Menteri berkata, dalam memastikan nasib semua golongan masyarakat terpelihara, kerajaan memerlukan sokongan badan dan organisasi korporat serta individu secara am untuk bersama-sama menyalurkan sumbangan berterusan bagi menjayakan niat murni tersebut.

Katanya, semua pihak daripada latar belakang agama dan kepercayaan yang berbeza harus mendukung nilai murni itu bagi menunjukkan rasa kasih sayang sesama insan, seterusnya membangunkan masyarakat negara ini.

"Semasa kita mencapai kemerdekaan pada 1957, para pengasas negara telah berusaha sedaya upaya menyatupadukan masyarakat dengan tujuan memacu negara menuju negara makmur, sekali gus hidup dalam harmoni.

"Inilah yang dikatakan cara Malaysia dan banyak negara cuba mengikut jejak kita dalam membangunkan negara," katanya ketika berucap dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Pertubuhan Kebajikan Ti-Ratana di sini malam ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, setiap agama utama di dunia menggalakkan para penganut masing-masing melakukan kebaikan dan menerapkan nilai sejagat seperti kejujuran serta keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara.

Menurut beliau, para penganut semua agama tidak harus sesekali melupakan perkara itu dan perlu diraikan sebaik mungkin bagi mencapai kesaksamaan sosial, seterusnya menjamin masyarakat hidup dalam keadaan aman.

Dalam perkembangan sama, Najib turut mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM1 juta kepada Pertubuhan Kebajikan Ti-Ratana untuk tujuan pembinaan bangunan empat tingkat organisasi itu bagi menempatkan hampir 400 anak yatim dan warga emas yang mendapat perlindungan di bawah yayasan itu.

"Saya harap akan berkesempatan merasmikan bangunan tersebut pada masa depan dalam jawatan saya sekarang," katanya. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment