My Add

Thursday 18 October 2012

Kuwait pelawa syarikat Malaysia

*MUHYIDDIN Yassin pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pertama Dialog Kerjasama Asia (ACD) di Kompleks Istana Bayan di Kuwait, semalam. Bersama beliau, Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kolihan Pillay (tengah) dan Duta Malaysia ke Kuwait, Datuk Adnan Othman.
Oleh Herman Hamid
KUWAIT, RABU, 17 Oktober, 2012: Kuwait menawarkan kepada syarikat-syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam projek pembangunan infrastruktur di negara itu yang bakal menyaksikan perbelanjaan peruntukan sebanyak AS$130 bilion (RM403 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheik Jaber Al-Mubarak Al-Sabah malam tadi berkata, beliau dimaklumkan antara bidang yang dilihat berpotensi untuk diterokai ialah pembinaan lebuh raya dan pelabuhan yang sedang rancak berjalan ketika ini.

“Kita juga berbincang mengenai cara untuk meningkatkan hubungan dagangan dua hala yang kini berjumlah RM1.6 bilion kerana prospek untuk meningkatkannya adalah sangat besar.

“Pelaburan Kuwait di Malaysia juga sudah ada seperti Kuwait Finance House tetapi saya turut meminta kerajaan Kuwait memberikan sokongan yang lebih untuk syarikat mereka terlibat dalam beberapa bidang ekonomi yang menjadi tumpuan di bawah program transformasi ekonomi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) yang berlangsung di Dewan Persidangan Tahrir, Kompleks Istana Bayan di sini hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, perbincangan turut dilakukan supaya lawatan pelabur kedua-dua negara ke Malaysia dan Kuwait dipertingkatkan agar mereka dapat mengetahui lebih dekat peluang pelaburan yang wujud.

Katanya, bagi mengukuhkan hubungan jangka panjang pula, kedua-dua negara kini sedang berbincang untuk mengadakan perjanjian dan berharap perkara itu dapat disegerakan.

“Bila dimeterai, ia akan menjadi kerangka kerjasama jangka panjang kerana di bawahnya akan ada Pasukan Bertindak Bersama Mengenai Perdagangan yang akan meneliti bidang-bidang yang boleh dipromosikan.

“Selain itu, memorandum kerjasama dalam bidang pengajian tinggi telah siap dan menunggu masa untuk ditandatangani. Kita akan bincang bila masa yang sesuai untuk ia dimeterai," jelasnya.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau turut membangkitkan usaha untuk meningkatkan jumlah pelancong Kuwait ke Malaysia yang berjumlah 23,000 orang pada tahun lalu.

“Mereka memang suka kepada negara kita seperti makanan, tempat tinggal dan lain-lain lagi. Saya kira perkara ini boleh dilakukan dengan meningkatkan promosi di sini.

“Saya juga sampaikan penghargaan di atas sokongan Kuwait kepada pencalonan Malaysia untuk menjadi anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015-2016 dan kita juga memberi sokongan kepada pencalonan Kuwait untuk menjadi anggota bukan tetap Majlis Keselamatan 2018- 2019," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment