My Add

Thursday 18 October 2012

Pertingkat bakat mahir untuk capai negara berpendapatan tinggi - TPM

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Oktober, 2012: Malaysia perlu segera meningkatkan jumlah tenaga kerja berkemahiran tinggi kerana keupayaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi bergantung kepada sumber manusia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keperluan tenaga kerja mahir cukup mustahak untuk mengubah ekonomi negara yang berintensifkan buruh kepada ekonomi nilai tambah.

Selain itu, katanya, peningkatan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja akan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing pada masa depan.

"Kini, kira-kira 72 peratus tenaga kerja tempatan terdiri daripada pekerja yang kurang berkemahiran atau tanpa kemahiran langsung.

"Sedangkan untuk menggerakkan ekonomi negara, kita perlu bakat-bakat yang berkemahiran tinggi dan memiliki idea yang relevan," katanya dalam ucapan pada majlis jamuan makan malam Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Muhyiddin berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) untuk meningkatkan kemahiran pekerja.

Menurut beliau, pelbagai rancangan akan dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah program di universiti-universiti awam, khususnya universiti teknikal.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati dan perlu terus berusaha supaya sistem pendidikan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment