My Add

Tuesday 2 October 2012

Laksana SLDN bagi tingkat tenaga kerja kemahiran tinggi: Muhyiddin

KAJANG, SELASA, 02 Oktober, 2012:: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu industri dan syarikat tempatan lebih aktif melaksanakan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mencukupi dan kompeten bagi keperluan industri negara menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada 2006 sehingga 2011 seramai 31,968 perantis berjaya dilatih dengan membabitkan penyertaan 1,381 syarikat menerusi pelaksanaan SLDN. 

"Jabatan Pembangunan Negara juga menetapkan sasaran seramai 27,500 perantis lagi akan dilatih dengan membabitkan 967 syarikat bagi tempoh 2011 sehingga 2015.

"Jumlah ini dijangka akan bertambah sekali ganda dengan penyertaan Kolej Vokasional dalam program SLDN," katanya dalam ucaptama pada Majlis PelancaranSLDN di Kolej Vokasional KPM dan Majlis Menandatangani Kenyataan Bersama KPM-KSM di Sekolah Menengah Teknik Kajang di sini, sebentar tadi.

SLDN adalah satu pendekatan baru latihan kemahiran yang membangunkan kompetensi tenaga kerja berkemahiran berorientasikan industri.

Muhyiddin berkata, dengan termeterainya perjanjian kerjasama di antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia, jangkaan kemasukan pelajar meningkat sehingga 15,000 orang menjelang 2013 dan kepelbagaian bidang kemahiran mencecah 53 jenis merangkumi pengajian penerbangan, pertanian dan pelancongan.

"Saya yakin di bawah penjenamaan semula latihan kemahiran dengan nama Skills Malaysia, program SLDN mahupun latihan kemahiran di Kolej Vokasional mampu menjadi agenda penyatuan rakyat berbilang bangsa dan budaya ke arah menyumbang kepada kemakmuran negara secara berterusan," katanya. 

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed. - BH

No comments:

Post a Comment