My Add

Tuesday 2 October 2012

Pertuduhan terhadap bekas CEO Sime Darby akan dipinda

KUALA LUMPUR, SELASA, 02 0ktober, 2012: Pihak pendakwaan akan meminda pertuduhan terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid, yang didakwa pecah amanah melibatkan RM100 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais memberitahu perkara itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Jagjit Singh Bant Singh di sini hari ini.
Kevin berkata pihaknya akan mengemukakan kertas pertuduhan pindaan itu pada 9 November dan ia sebelum itu akan diserah kepada pihak pembelaan.

"Pihak pendakwaan akan menyerahkan kertas pertuduhan pindaan tersebut kepada pembelaan pada 5 November ini bagi membolehkannya diteliti sebelum tarikh berkenaan (9 November)," kata Kevin.

Pihak pembelaan diwakili peguam Stanley Augustin dan Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Pada 17 Julai lalu, Ahmad Zubair, 55, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dan dua pertuduhan alternatif iaitu memperdaya anggota lembaga pengarah konglomerat itu membabitkan projek yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Zubair didakwa dalam kapasitinya sebagai presiden dan CEO, diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana syarikat berkenaan, iaitu untuk memperoleh Tanah Hak Adat Bumiputera (HAB) di bawah 'Sarawak Expansion Plan' untuk tanah di Sarawak. 

Beliau didakwa memperoleh kelulusan bagi pihak SDB daripada kerajaan negeri Sarawak bagi tanah HAB yang dimaksudkan terletak di KJD/Lower Julau, Sg. Julau/Sg. Pitoh/Sg. Jiet dan sebahagian Merurun/Meluan/Entabai, Sarikei.

Ahmad Zubair didakwa melakukan pecah amanah apabila beliau dengan curangnya sebagai presiden dan CEO, gagal untuk mengambil atau mengarahkan tindakan undang-undang untuk pengesahan ke atas penganugerahan tanah HAB yang dimaksudkan kepada sebuah syarikat iaitu Vertical Drive Sdn Bhd.

Tertuduh sebaliknya menyebabkan SDB mengalami kerugian melalui pembayaran cek Maybank bernilai RM85,023,047.20 semasa pengambil alihan ke atas Vertical yang dianugerahkan tanah HAB.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Zubair didakwa pecah amanah dana syarikat membabitkan tanah HAB di muara sungai Btg. Rejang/Btg. Baleh, Kapit dan separuh daripada kawasan timur Merurun/Meluan/Entabai, Julau.

Ahmad Zubair didakwa melakukan pecah amanah apabila beliau dengan curangnya sebagai presiden dan CEO, gagal untuk mengambil atau mengarahkan tindakan undang-undang untuk pengesahan ke atas penganugerahan tanah HAB yang dimaksudkan kepada sebuah syarikat iaitu Nature Ambience Sdn Bhd.

Tertuduh sebaliknya menyebabkan SDB mengalami kerugian melalui pembayaran cek Maybank bernilai RM16,816,217 semasa pengambilalihan ke atas Nature Ambience yang telah dianugerahkan tanah HAB.

Kedua-dua pertuduhan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi dua pertuduhan alternatif, Ahmad Zubair didakwa dalam kapasitinya selaku presiden dan CEO SDB dan bertanggungjawab untuk memperoleh kelulusan ke atas tanah HAB, memperdaya Lembaga Pengarah SDB.

Ahmad Zubair didakwa tidak memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa kelulusan tanah HAB kepada SDB yang terletak di dua bahagian kawasan berkenaan, sebaliknya, dianugerahkan kepada Vertical dan Nature Ambience, dengan pengetahuan ia boleh menyebabkan kerugian kepada SDB apabila pengambilalihan dilakukan ke atas dua syarikat itu.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zubair didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby Berhad, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, di sini, antara 17 November 2008 dan 4 Disember 2009. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment