My Add

Saturday 27 October 2012

Lelaki ditangkap polis bukan kerabat Kedah

GEORGETOWN, 27 Oktober, 2012:: Siasatan mendapati pengerusi pertubuhan amal Islam yang ditahan polis minggu lalu tidak mempunyai hubungan dengan kerabat diraja Kedah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata polis sudah mendapatkan pengesahan Istana Kedah untuk membuktikan kesahihan dakwaan lelaki terbabit.

Kita sudah menjalankan siasatan lanjut dan baru saja pulang dari Alor Setar, kelmarin. Selepas pemeriksaan mendapati lelaki terbabit langsung tidak mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Kedah.

Selepas semua siasatan dilakukan kita dapati lelaki berkenaan hanya orang biasa dan menyamar sebagai kerabat diraja, katanya kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, semalam.

Roslee berkata, siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan dan setakat ini sudah 90 peratus selesai dan pihaknya akan merujuk kes terbabit kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Selasa lalu, polis menahan 13 individu pada majlis pelantikan ahli jawatankuasa sebuah pertubuhan amal Islam di sebuah hotel, di sini, dalam serbuan kira-kira jam 4 petang.

Penanahan berkenaan dilakukan berikutan ada orang awam yang curiga dengan identiti penganjur majlis berusia lingkungan 40-an yang mengaku sebagai kerabat diraja.

Selain itu, majlis terbabit dilihat pelik kerana ia sebuah pertubuhan amal Islam namun penganjur turut mengadakan pertemuan dengan kaum lain termasuk pemilik kelab malam.

Berikutan itu, polis menyerbu majlis yang dihadiri 200 tetamu itu dengan 13 lelaki dibawa ke balai polis sebelum 11 daripada mereka direman bagi membantu siasatan.

Siasatan mendapati kereta mewah jenis BMW bernilai hampir RM700,000 dan nombor pendaftaran kereta mempunyai lambang Persatuan Kerabat diraja Kedah dengan tertera perkataan pengerusi sebuah pertubuhan amal Islam tersebut sebenarnya milik seorang lelaki Cina. - BH

No comments:

Post a Comment