My Add

Tuesday 16 October 2012

Lima lagi ditahan berhubung kes rompakan cip mikro

GEORGETOWN, SELASA, 16 Oktober, 2012: Polis menahan lima lagi lelaki, termasuk seorang warga China, bagi membantu siasatan kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta dari sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah dekat sini, awal pagi Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Mazlan Kesah berkata semua suspek yang berusia 26 hingga 52 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Perai, semalam.

"Kesemua lelaki itu ditahan reman sehingga 21 Okt ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menjumpai sekeping slip penghantaran yang menyatakan dua kotak cip telah dihantar ke Hong Kong melalui kurier ekspres pada 10 Okt, dan tiba di negara itu hari berikutnya.

Mazlan berkata polis berjaya mengesan sebanyak 259 daripada 269 kotak cip mikro yang dilapor hilang dalam kejadian itu, dan beliau yakin baki 10 cip masih berada dalam negara ini.

Beliau berkata setakat ini, polis menahan 22 orang dan enam daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Mazlan berkata polis kini mengesan empat lagi suspek dan yakin dapat membuat tangkapan tidak lama lagi kerana identiti mereka telah dikenal pasti.

Pada kejadian pukul 2.30 pagi itu, lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai memecah masuk gudang menyimpan cip mikro melalui pintu belakang premis sebelum mengikat enam pekerjanya.

Difahamkan perompak terbabit melarikan cip yang berharga RM75,000 bagi setiap kotak itu dalam masa 20 minit sahaja. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment