My Add

Wednesday 17 October 2012

Mashitah nafi fitnah Hadi Awang

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Oktober, 2012: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menafikan dakwaan beliau telah mengeluarkan kata-kata memfitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi kolumnya beliau 'Langit Terbuka' dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Mac lalu.

Bagi Mashitah, kata-kata itu benar dari segi fakta dan merupakan komen berpatutan dalam menyuarakan pendapat berhubung kepentingan awam iaitu peradaban Abdul Hadi sebagai ahli politik atau Ahli Parlimen berlandaskan perjuangan partinya atas nilai-nilai yang ditekankan oleh Islam.

Tambahan pula, menurut beliau, kata-kata tersebut telah diterbitkan dalam tahun 2003 di dalam sebuah buku bertajuk: Letup: Isu-Isu Hangat Kelantan yang ditulis oleh Drs. Amnah Khuzairi namun tiada tindakan diambil ke atas penulis buku tersebut dan mana-mana pihak yang berkenaan oleh Abdul Hadi.

Berikutan itu, Mashitah menegaskan, pernyataan itu telah diterbitkan di bawah satu perlindungan bersyarat dan menafikan Abdul Hadi berhak ke atas sebarang ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau.

Perkara tersebut terkandung dalam pernyataan pembelaan Mashitah setebal tujuh muka surat bagi menjawab kes saman fitnah yang difailkan oleh Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu terhadap beliau dan dua lagi di Mahkamah Tinggi di sini pada 18 September lalu.

Pernyataan pembelaan tersebut difailkan semalam melalui firma guaman, Tetuan J.S. Pillay & Mohd. Haaziq.

Dalam saman itu, Abdul Hadi selaku plaintif menamakan Mashitah defendan pertama manakala penerbit dan pencetak akhbar Sinar Harian, Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. (Sinar Karangkraf) dan Ultimate Print Sdn. Bhd. (Ultimate Print) masing-masing defendan kedua dan ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan Abdul Hadi antaranya mendakwa, defendan pertama telah mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya dalam kolum beliau 'Langit Terbuka' yang kemudiannya diterbit dan dicetak oleh defendan kedua dan ketiga.

Dakwanya, kata-kata fitnah yang ditulis itu antara lainnya menunjukkan, plaintif seorang yang tidak bermoral dan tidak layak untuk menjadi pemimpin parti.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof pada 2 Oktober lalu menetapkan pengurusan kes saman itu pada 30 Oktober depan.

Sementara itu, Mashitah juga pada 25 September lalu telah disaman oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung penyiaran artikel yang sama.

Mohamad menyatakan, kata-kata fitnah itu antaranya menggambarkan beliau telah mendedahkan auratnya di hadapan seorang perempuan yang bukan mahram, melakukan perbuatan yang jijik, tidak bermoral dan pemimpin Islam yang rendah akhlaknya.

Peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Mashitah, memberitahu pemberita, Hakim Datin Yeoh Wee Siam hari ini memerintahkan anak guamnya memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 30 Oktober ini dan menetapkan 23 November depan bagi pengurusan kes itu.

Mohamad diwakili peguam Nor Syazzana Zolkiffly, manakala peguam Nor Uwais Qarni mewakili Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed; Sinar Karangkraf dan Ultimate Print yang dinamakan sebagai defendan kedua hingga keempat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment