My Add

Thursday 11 October 2012

Mahasiswa perlu dahagakan ilmu, cari kebenaran, berpendirian - Najib

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Oktober, 2012: Para mahasiswa harus sentiasa bersifat dahagakan ilmu, mencari kebenaran dan mampu menyatakan pendirian dalam satu-satu isu, meskipun pendirian yang dibuat oleh mahasiswa itu berbeza dengan pandangan kerajaan atau pihak lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendirian dan pandangan mahasiswa tersebut mestilah berasaskan kepada fakta serta kebenaran dan bukannya retorik, andaian, jauh sekali termakan taburan janji yang tidak berpaksikan realiti.

"Jika tidak kita akan gagal memahami realiti apabila kita meninggalkan dunia mahasiswa," katanya ketika berucap pada Pertandingan Akhir Debat Piala Perdana Menteri Antara Institusi Pengajian Tinggi 2012 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pemangku Naib Canselor UM, Prof. Dr. Hamdi Abd. Shukor.

Perdana Menteri di dalam ucapannya turut menyatakan komitmen kerajaan mendengar suara mahasiswa serta generasi muda kerana mereka juga sebahagian daripada rakyat negara ini.

Tambahan pula beliau berkata, golongan terbabit merupakan pihak yang bakal menerajui negara ini dan sudah tentu kerajaan perlu membuat persiapan secara tersusun serta terancang untuk mereka.

Najib turut menyentuh keputusan kerajaan meminda Akta Kolej dan Universiti (AUKU) yang antara lain percaya dengan kematangan mahasiswa masa ini.

"Kita mahu lahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan di dalam akademik malah kita mahu mahasiswa yang mempunyai pemikiran kritis dan kreatif.

"Mereka ini merupakan generasi baru yang harus kita angkat pada kedudukan sewajarnya supaya mereka akhirnya mampu membawa negara ke arah lebih cemerlang lagi," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment